SEPANG – Skuad bawah 16 (B-16) negara tekad untuk menimba pengalaman terbaik menjelang aksi Kejohanan Siri Remaja Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2025 yang akan berlangsung di Zurich bermula Ahad ini hingga 22 Mei depan.
Jurulatih skuad B-16 tahun negara, Javier Jorda Ribera menyeru semua 22 pemain yang dipilih untuk berikan yang terbaik apabila bersaing dengan pasukan-pasukan ternama nanti.
“Kita memilih senarai pemain yang terbaik selepas mengharungi persiapan yang panjang dengan beberapa siri perlawanan antarabangsa dan juga aksi di liga domestik.
“Pertandingan ini memberikan pendedahan terbesar kerana kita akan beraksi menentang pasukan antarabangsa yang mewakili setiap benua,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebentar tadi.
Sebagai rekod, Kejohanan Siri Remaja FIFA disertai enam pasukan B-16 mewakili setiap satu dari enam benua konfederasi FIFA selaku badan induk bola sepak antarabangsa.
Skuad negara berada dalam Kumpulan B bersama Tunisia dan Paraguay manakala Kumpulan A dibarisi oleh Switzerland, New Zealand dan Guatemala. – KOSMO! ONLINE