fbpx

Selangor tarik syarikat multinasional turunkan kadar pengangguran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Papparaidu ketika ditemui pemberita selepas sambutan Hari Pekerja Peringkat Selangor, hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

SHAH ALAM – Selangor menyasarkan kadar pengangguran menurun kepada dua peratus dengan menarik lebih banyak syarikat besar bertaraf multinasional menyertai Jelajah Karnival Kerjaya seluruh daerah di negeri ini.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V. Papparaidu berkata, pelbagai inisiatif pekerjaan dan penyediaan infrastruktur disediakan kepada pencari kerja atau tenaga kerja berkemahiran kepada syarikat-syarikat terlibat dalam karnival itu.

Namun, katanya, yang menjadi permasalahan apabila pencari kerja mengambil sikap menunggu untuk mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji tinggi atau setimpal dengan lepasan pendidikan mereka.

“Saya tidak menyalahkan mereka. Cuma nasihat saya adalah mengambil dulu peluang kerja yang disediakan dalam karnival kerjaya itu.

“Selain itu, kita juga sedang menyusun pertemuan dengan syarikat-syarikat multinasional yang membabitkan pekerjaan berimpak tinggi,” katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Pekerja peringkat Selangor di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dipetik berkata, pasaran buruh Malaysia terus mencatatkan kemajuan stabil pada suku pertama 2025 dengan petunjuk utama menunjukkan peningkatan bilangan penduduk bekerja dan kadar penyertaan tenaga buruh manakala kadar pengangguran menurun.

Di peringkat negeri, Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan kadar pengangguran terendah iaitu 1.8 peratus diikuti Melaka dan Pahang (masing-masing 1.9 peratus) serta Selangor (2.2 peratus).

Papparaidu menjelaskan, terdapat cabaran di lapangan bagi penurunan kadar pengangguran tersebut terutama melibatkan penghijrahan penduduk seperti dari Perak, Negeri Sembilan dan Pahang.

Tambahnya, peluang kerja akan terus dikekalkan antara 30,000 hingga 40,000 pada karnival itu sepanjang tahun ini

“Sasaran saya lebih kepada pekerjaan berpendapatan tinggi selaras dengan negeri paling maju.

“Saya difahamkan tawaran gaji yang disediakan pada karnival kerjaya itu antara RM2,000 hingga RM8,000,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI