fbpx

‘Adik kenapa tinggalkan kakak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa, Ahmad Zuhair yang maut tersepit selepas terlibat nahas dengan sebuah lori tiga ton di Kilometer 104.1 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan), berhampiran Yong Peng, Batu Pahat pagi semalam.

BATU PAHAT – Seorang kakak tidak dapat menyembunyikan kesedihan apabila satu-satunya adik yang ada pergi menghadap Ilahi buat selamanya selepas maut dalam kemalangan di Kilometer 104.1 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) berhampiran Yong Peng di sini pagi semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8.45 pagi itu, Ahmad Zuhairi Zainuddin, 41, yang memandu Perodua Viva terbunuh selepas kereta dikendalikan dirempuh lori tiga tan membawa muatan ‘hardware’.

Menurut kakaknya, Zarina, 43, Ahmad Zuhairi ketika kejadian dalam perjalanan dari Gombak, Selangor pulang ke kampung halamannya di Taman Sri Tebrau, Johor Bahru.

“Selepas ayah dan ibu meninggal pada 2023, adik tinggal bersama saya di Gombak, Selangor. Ketika kejadian dia nak balik ke Johor Bahru, apa tujuan dia ke sana, tak tahu pula saya.

“Seminggu sebelum ini, dia banyak diam dan suka menyendiri, tak ada yang pelik, cuma itulah sejak seminggu dia macam berubah, sebelum ini dia jenis periang dan peramah, sejak akhir ini dia banyak termenung,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Zarina berkata, adiknya itu masih bujang dan bekas anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) namun tinggal bersamanya kerana hanya mereka dua beradik sahaja yang ada.

Menurutnya, dia menerima perkhabaran duka menimpa Ahmad Zuhairi selepas dihubungi pihak polis sebelum terus bergegas ke Hospital Sultanah Nora Ismail di sini.

“Mengikut maklumat diterima daripada polis, kereta adik mengalami masalah kerosakan sebelum dilanggar daripada belakang oleh lori tiga tan terbabit. Bagaimanapun, saya tetap mengharapkan satu keadilan kepada adik berdasarkan melihat kepada gambar diterima daripada mereka,”katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan itu membabit Perodua Viva dan sebuah lori tiga tan yang dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun bersama kelindannya.

“Apabila tiba di lokasi kemalangan, kereta Perodua Viva itu dikatakan berhenti di lorong kanan akibat daripada mengalami kerosakan enjin. Pemandu lori itu gagal memberhentikan kenderaan dipandunya sebelum melanggar dari belakang kereta Perodua Viva berkenaan,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI