JOHOR BAHRU – Isu kekurangan bekalan minyak masak peket di negeri ini akan diselesaikan sepenuhnya apabila pengedaran bekalan barangan keperluan tersebut dibuat mengikuti zon bermula esok.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Dr. Fuziah Salleh berkata, 17 zon telah dikenalpasti di seluruh Johor.
Katanya, 19 syarikat pengeluar telah diberikan kuota masing-masing untuk memastikan tidak berlaku lambakan atau kekurangan bekalan di mana-mana kawasan.
“Bermula esok, sejumlah 3,112 metrik tan minyak masak paket bakal diedar mengikuti zon sebulan bagi mengatasi isu kekurangan bekalan di beberapa kawasan negeri ini.
“Isu bekalan sebelum ini timbul kerana sebahagian pembungkus minyak terus menjual kepada pembeli di kawasan berhampiran mereka, yang penting barangan habis dijual, tetapi bermula esok tidak lagi kerana masing-masing ada kuota zon untuk dipatuhi,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke sebuah syarikat pembungkusan minyak di Jalan Kempas Lama, di sini hari ini.
Selain Johor, pengedaran mengikut zon ini telah dilaksanakan di Sabah, Sarawak, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak.
Tambah Fuziah, secara keseluruhan sebanyak 60,000 metrik tan minyak masak paket dikeluarkan 330 syarikat pengeluar sebulan bagi memenuhi keperluan negara khususnya melibatkan pengguna B40. – KOSMO! ONLINE