ALOR SETAR – Masih ada suami yang sesuka hati bermain talak termasuk bagi hal-hal remeh untuk menakut-nakutkan isteri sehingga menyebabkan hidup wanita itu tertekan.
Peguam Syarie, Amalina Adam berkata, kekurangan ilmu pengetahuan dalam hukum syarak dan rumah tangga antara punca lelaki suka bermain talak dengan isteri mereka.
“Ada satu kes melibatkan suami isteri berusia 31 dan 24 tahun yang ada seorang anak lelaki. Suami bekerja sebagai pembantu kedai, manakala si isteri tidak bekerja.
“Kes perceraian pasangan ini disebabkan talak atas alasan remeh. Lelaki itu menyebut ‘disebabkan kau pakai berus gigi aku, jatuh talak satu terhadap kau’.
“Suami melafazkan talak tersebut sebaik sahaja dia melihat isterinya mengambil dan menggunakan berus gigi suami,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut beliau, isterinya faham akan kesan lafaz talak tersebut dan meminta maaf kepada suaminya, namun tidak dipedulikan oleh suami.
“Suami kemudian melaporkan hal perceraian itu di mahkamah dan siasatan serta perbicaraan dijalankan terhadap suami isteri tersebut.
“Mahkamah kemudian meluluskan tuntutan itu berdasarkan Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kedah (2008) dan mahkamah mensabitkan lafaz yang dibuat secara lisan itu adalah sah dan menjatuhkan talak,” ujarnya.
Katanya, ada satu lagi kes melibatkan pasangan suami isteri berusia 27 dan 25 tahun yang bekerja sebagai guru dan mempunyai dua anak, namun hubungan perkahwinan mereka berakhir hanya kerana kad sim.
“Si suami menyebut ‘aku ceraikan kau dengan talak tiga jika kau tidak memberikan aku kad sim telefon kau sehingga tengah hari ini’ yang mana si suami menyebut lafaz tersebut secara lisan di hadapan isteri,” ujarnya.
Menurutnya, si isteri memahami lafaz tersebut, namun dia tetap tidak memberikan kad sim tersebut sehingga kes difailkan di Mahkamah Rendah Syariah.
“Perbicaraan berlangsung selama sejam dengan kehadiran kedua-dua pihak. Mahkamah mensabitkan lafaz yang dibuat di luar dan tanpa kebenaran mahkamah adalah sah sebelum menjatuhkan talak tiga sekali gus,” ujarnya.
Tegasnya, isu perceraian tidak boleh dijadikan bahan gurauan dan mainan.
“Mengikut hadis riwayat Abu Daud, tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh iaitu nikah, cerai dan rujuk semula,” katanya.
Menurutnya, setiap talak yang dilafazkan di luar dan tanpa kebenaran mahkamah wajib didaftarkan di Mahkamah Syariah supaya tidak timbul masalah di kemudian hari termasuk dikhuatiri hidup dalam keadaan berzina sepanjang hayat.
Jelasnya, mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, merujuk kepada walau apa pun Seksyen 55 apabila lafaz talak dibuat di luar mahkamah, maka mahkamah perlu mengesahkan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh lafaz.
“Hendaklah suami isteri tersebut disiasat sama ada lafaz tersebut sah atau tidak sah menurut hukum syarak. Jangan jatuh hukum sendiri, lafaz hendaklah disahkan di Mahkamah Syariah.
“Kesannya apabila tidak direkodkan jumlah talak yang pernah dilafazkan suami terhadap isteri, dikhuatiri jika talak itu telah melebihi tiga talak,” katanya.
Menurutnya, kesan lain tidak mendaftar perceraian di mahkamah apabila si isteri sukar mengira tempoh idah dan sama ada lafaz rujuk yang dibuat sendiri itu sempurna atau tidak.
“Jika pihak-pihak tidak mendaftarkan perceraian dan rujuk di Mahkamah Syariah dan Pejabat Agama, kami khuatir hidup dalam keadaan berzina sepanjang hayat.
“Isteri juga sukar membuat sebarang tuntutan hak-hak selain urusan berkaitan harta pusaka,” katanya.














