fbpx
RAMAI pelajar sekolah tidak menghiraukan keselamatan mereka termasuk tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

Abai faktor keselamatan punca kemalangan motosikal tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAUDARA PENGARANG,

HAMPIR setiap hari kita mendengar berita mengenai kemalangan maut di jalan raya.

Malah, statistik juga menyaksikan penunggang motosikal merekodkan jumlah tertinggi terlibat dalam kemalangan maut berbanding kenderaan lain kerana kecuaian mereka termasuk tidak memakai topi keledar.

Apa yang membimbangkan adalah mereka yang maut adalah generasi muda termasuk pelajar sekolah yang bakal menjadi pelapis kepada negara pada masa akan datang.

Namun, saya lihat faktor keselamatan jalan raya melibatkan penunggang motosikal khususnya pelajar sekolah seolah-olah dipandang ringan.

Apa tidaknya, setiap hari saya yang berulang alik untuk bekerja di sekitar Kuantan mendapati bukan sahaja memandu dengan berbahaya, malah pelajar yang memakai baju sekolah seolah-olah kebal apabila tidak memakai topi keledar.

Peraturan pemakaian topi keledar tidak ‘ditakuti’ oleh mereka yang bebas menunggang motosikal tanpa topi keledar.

Saya yang memandu kereta pula berasa bimbang dengan situasi ini yang boleh mengundang maut sekiranya berlaku kemalangan.

Dalam isu ini, saya rasa pihak berkuasa berkaitan perlu melakukan pemantauan rutin dan mengenakan tindakan tegas mengikut undang-undang bagi memastikan semua pelajar memakai topi keledar.

Lupakanlah mengenai lesen dan sebagainya kerana bagi saya yang lebih utama adalah pemakaian topi keledar demi keselamatan penunggang dan pembonceng motosikal.

Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak mereka memakai topi keledar dan mengikut peraturan jalan raya yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Janganlah nanti bila berlaku kemalangan baru hendak menyesal yang sudah tidak berguna lagi.

AJI
Kuantan, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN