AROMA kopi yang harum menusuk deria sebaik melangkah masuk ke kawasan kebun durian subur di Bukit Katil, Melaka.
Siapa sangka, di bawah rimbunan pokok dan berhampiran taman tema air D’Bayan Hill Waterpark terdapat sebuah kafe kontena kecil menanti para pengunjung.
Kafe yang bernama D’dusun Coffee tersebut menyediakan keenakan kopi tempatan dan turut terletak bersebelahan tarikan mesra keluarga seperti petting zoo.
Antara menu utama yang menjadi tarikan di kafe tersebut ialah caramel macchiato yang dirumus menggunakan serbuk kopi berkualiti dan susu segar.
Pemilik kafe, Siti Suhana Bustamam berkata, minuman kopi di kafenya dihasilkan tanpa bantuan mesin kopi, namun tetap mengekalkan rasa premium.
“Saya pernah bekerja sebagai barista sebelum ini, namun kos mesin kopi yang tinggi membuatkan saya mencari alternatif lain untuk menghasilkan rasa kopi yang sama tanpanya.
“Selepas pelbagai eksperimen, saya berjaya menghasilkan rasa yang setanding dengan kopi berjenama. Ramai memuji kopi rumusan saya ini,” katanya kepada CitaRasa.
Bagi pengunjung yang tidak menggemari minuman berkafein, pilihan lain seperti chocolate strawberry turut menjadi salah satu menu paling laris.
Diperbuat daripada serbuk coklat dan jus pati strawberi bermutu tinggi, minuman tersebut dirumus untuk menghasilkan rasa yang seimbang dan sesuai dinikmati oleh semua peringkat usia.
Selain itu, teh ais lemon yang diperbuat daripada jus lemon sebenar serta refreshing strawberry fizzy, minuman bergas ringan yang menyegarkan, sangat sesuai dinikmati ketika cuaca panas.
Untuk makanan, pengunjung disarankan mencuba pisang goreng crispy yang dihidangkan dengan kuah kicap cili padi dan juga pisang goreng cheese.
Memiliki pengalaman menjual pisang goreng selama 13 tahun, Siti Suhana mendedahkan bahawa dia memilih untuk menggunakan pisang nipah kerana keunikannya tersendiri.
“Pisang goreng bukan sahaja disediakan dengan tepung bancuhan khas yang dibuat sendiri, tetapi turut menggunakan pisang nipah.
“Ini kerana pisang nipah memberikan rasa lebih manis dan lemak berbanding jenis pisang lain. Rasa rangup membuatkannya sesuai sebagai snek ringan,” katanya.
Bukan hanya makanan berat, kafe tersebut juga terkenal dengan cendol durian santan sawit yang memanfaatkan durian kampung dari dusun berkenaan.
Rasa cendol tersebut kaya dengan empat jenis gula yang saling melengkapi iaitu gula Melaka, gula merah, gula batu dan satu gula khas untuk cendol.
Hidangan cendol juga boleh diperkaya dengan pelbagai add-on seperti buah pala, laici, longan dan kacang panggang.
Di samping snek dan pencuci mulut, kafe tersebut turut menawarkan hidangan berat yang mengenyangkan.
Salah satu menu terkenalnya ialah nasi lemak sambal sotong yang dihidang dengan sambal sotong pedas memikat selera.
Selain itu, terdapat juga pilihan lain seperti mi kari, burger ayam crispy dan chicken chop yang pasti memuaskan selera setiap pengunjung.
Jelas Siti Suhana, kafe tersebut beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 6 petang pada hari biasa dan 8 pagi hingga 10 malam pada hujung minggu atau cuti sekolah.
“Pengunjung dapat menikmati menu-menu sepanjang waktu operasi. Bahkan, bagi mereka yang datang dari taman tema, kafe ini tempat yang ideal untuk berehat sambil menikmati hidangan selepas seharian beraktiviti,” katanya.














