PETALING JAYA – Aliran trafik di Plaza Tol Gombak menuju ke Pantai Timur sesak pagi ini ekoran orang ramai mengambil kesempatan cuti panjang pada hujung minggu untuk bercuti termasuk pulang ke kampung.
Tinjauan Kosmo! menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) di laman web Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada pukul 9.30 pagi mendapati aliran trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) perlahan ekoran pertambahan kenderaan terutama di Genting Sempah.
Bagaimanapun, keadaan masih lagi terkawal ketika ini.
Sementara itu, di Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) dan LPT2, keadaan trafik dilaporkan lancar setakat pagi ini.
Di Lebuh Raya Utara-Selatan menuju ke Seremban, berlaku pertambahan kenderaan namun trafik masih lancar.
Perjalanan menghala ke utara juga masih terkawal, namun terdapat beberapa lokasi dilihat sedikit perlahan. -KOSMO! ONLINE