PONTIAN – Seorang bekas eksekutif bahagian pentadbiran di sebuah syarikat industri tidak menyesal meninggalkan pendapatan lima angka sebulan untuk beralih kepada bidang pertanian.
Rosman Madiron, 61, berkata, selepas berada dalam bilik berhawa dingin selama 18 tahun, dia memilih untuk berpanas dan berhujan di kebun.
Katanya, dia meninggalkan jawatan itu enam tahun lalu dan kini mengusahakan tanaman ubi kayu jenis ubi kabu dan ubi pulut di atas tanah seluas 0.8 hektar.
“Saya pilih tanaman ubi kayu kerana mudah diuruskan tanpa kos yang tinggi. Hanya ancaman babi hutan, namun boleh diatasi dengan memasang jaring.
“Saya pun tidak menyesal meninggalkan pendapatan lima angka sebulan. Saya kini berpuas hati dengan hasil titik peluh sendiri,” katanya di Kampung Batu 30, Pengkalan Raja di sini baru-baru ini.
Menurutnya, dia membeli benih atau keratan ubi kayu dengan harga 15 sen berukuran panjang 6 inci daripada pengusaha ubi kayu di Kampung Sungai Burung, Pekan Nanas.
“Sebanyak 6,000 keratan batang ubi ditanam di atas tanah seluas 0.8 hektar dengan mengambil masa selama sembilan bulan untuk dapat dituai.
“Ubi segar dijual pada harga RM2 sekilogram kepada peniaga gerai buah-buahan di kampung saya, manakala untuk membuat tapai pula dengan harga RM2.50 sekilogram,” katanya.
Katanya, bagi setiap .04 hektar, dia mampu mengeluarkan kira-kira 6,000 tan ubi kayu yang dihantar terus kepada peraih dan pengusaha tapai.
Menurutnya, setelah ditolak kos baja, racun dan sebagainya, bagi setiap 0.4 hektar tanaman ubi kayu, anggaran pendapatan yang diperoleh kira-kira RM5,000.
“Jualan daun ubi juga mendapat permintaan baik daripada peraih yang menjualnya semua di Singapura dan Johor Bahru bagi tujuan masakan dan sebagainya.
“Bagi menambah sumber pendapatan, saya juga tanam lengkuas seluas 0.8 hektar bersebelahan kampung saya dan tanaman ini juga mendapat pasaran baik di Singapura,” katanya.














