KOTA TINGGI – Satu siasatan telah pun dilakukan susulan insiden pesawat pejuang jenis Hawk yang tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar, Kedah, kelmarin.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata siasatan bagi memastikan keselamatan pesawat pejuang jenis tersebut itu dilakukan pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Insiden pesawat pejuang jenis Hawk yang tergelincir di Alor Setar, Kedah, tidak membabitkan sebarang kecederaan fizikal.
“TUDM telah dan akan memulakan siasatan untuk pastikan keselamatan kesemua pesawat pejuang Hawk berkenaan. Terpulang pada TUDM berapa lama tempoh siasatan akan mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Projek Jana Veteran Boustead Plantations Berhad di Ladang Telok Sengat, di sini, hari ini.
Terdahulu, pada Selasa lalu, TUDM mengesahkan sebuah pesawat pejuang jenis Hawk 208 miliknya tergelincir dari landasan selepas mengalami masalah pada gear pendaratan hadapan (nose landing gear) ketika melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Alor Setar di Kedah.
Dalam kenyataan rasminya, TUDM dilaporkan memaklumkan insiden berlaku kira-kira jam 5 petang ketika pesawat berkenaan sedang menjalani latihan Opening Gambit sebagai persiapan acara pembukaan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25). – KOSMO! ONLINE