Ikan aruan tasik (Rachycentron canadium) atau lebih dikenali sebagai ikan cobia merupakan salah satu ikan sukan memancing (gamefish). Ini kerana saiznya yang besar dan tenaga juangnya amat kuat, lebih-lebih lagi jika dipancing dengan menggunakan set pancing ringan.
Ia juga tidak memilih umpan, baik umpan berupa ikan-ikan kecil seperti kembung, selar, selayang dan pelbagai lagi sehinggalah ke sotong, ketam serta udang. Paling menarik, ia juga boleh digoda dengan gewang seperti minnow, deep diver, heavy sinking lure, popper, swimbait, skirts, jig dan bermacam jenis lagi.
Aruan tasik boleh dipancing di pelbagai tempat seperti tepi pantai dan tambak berbatu kerana ada sahaja pemancing pantai (surf fishing) yang pernah mendaratkannya.
Ia juga boleh didapati di tengah laut terutamanya berhampiran pulau-pulau, kawasan berbatu karang, juraman (drop-off), pelantar minyak dan unjam.
Kebiasaannya, jika memancing dari pantai, umpan ikan hidup yang didapatkan dengan menggunakan apollo atau sabiki menjadi pilihan utama. Manakala jika memancing di tengah laut, pilihan teknik memancing adalah lebih terbuka.
Ia boleh dipancing menggunakan umpan di dasar atau menghanyutkan umpan sama ada menggunakan pelampung atau tanpa menggunakan apa-apa jenis pelampung.
Jika menggunakan gewang pula, ikan ini boleh digoda melalui teknik mengilat (casting) ataupun menunda (trolling). Ada juga pemancing pernah mendapatkan ikan ini menggunakan jig dan pancing layang.
Aruan tasik adalah sejenis ikan yang hidup berkumpulan. Sebab itulah apabila seekor terkena pancing, selalunya akan ada seekor lagi mengekori di belakangnya.
Ada tekong yang pandai mengambil kesempatan dengan mengarahkan pemancing sedang berlawan dengan aruan tasik supaya perlahan-lahan menaikkannya sehingga rapat dengan bot supaya boleh mencangkuk (gaff) ‘kawan’ ikan tadi.
Kebiasaannya, semakin besar saiz aruan tasik, semakin kurang bilangannya di dalam kumpulan tersebut. Ia juga diketahui suka mengekori ikan-ikan bersaiz besar seperti pari dan yu.
Ini berkemungkinan kerana ia gemar mencari santapan yang mudah, berupa sisa-sisa makanan ikan-ikan besar tadi.
Mata kail lingkar
Saya lebih gemar menggunakan mata kail lingkar (circle hook) apabila menggunakan umpan untuk ikan ini, baik untuk pancing dasar mahupun berhanyut.
Ini kerana, ia lebih mudah untuk mencangkuk mulut ikan tanpa tercangkuk jauh hingga ke dalam perut sebagaimana mata kail berbentuk ‘J’.
Kelebihan circle hook, saya hanya perlu guna sebentuk mata kail untuk dicangkuk umpan, tidak kira sebesar manapun ikan umpan tersebut
Kelebihan lainnya, saya tidak perlu menyembat joran untuk menancapkan poin mata kail, cukup sekadar secara perlahan-lahan sistem tekanan kekili (drag) diketatkan apabila ikan sudah memakan umpan.

Ini kerana apabila aruan tasik mengambil umpan, ia biasanya akan membaham keseluruhan umpan.
Jadi, ketika ia berpaling atau berpusing, poin circle hook akan mengelungsur hinggalah tercangkuk di bahagian antara bibir dan mulut ikan, lantas menancapkan mata kail terus ke tempat tersebut.
Sebab itulah circle hook selalu tercangkuk di tepi mulut ikan. Apabila sudah tercangkuk, ia sukar terlepas disebabkan bentuknya itu yang hampir tertutup dan tidak terbuka seperti mata kail bentuk ‘J’.
Namun, syarat utamanya, joran tidak boleh disembat ketika ikan makan umpan.
Ini akan menyebabkan mata kail tidak sempat menembusi mana-mana bahagian di tepi mulut ikan sehingga ia terkeluar begitu sahaja.
Circle hook juga memudahkan ikan dilepaskan semula dan menaikkan peratusan ia hidup kerana kurangnya kecederaan yang dialami oleh ikan berbanding mata kail tercangkuk di insang atau ke dalam perutnya.
Casting dan jigging
Paling seronok adalah menggoda aruan tasik menggunakan gewang dan jig. Gewang jenis heavy sinking minnow berat antara 30-60 gram (g) paling sesuai digunakan sama ada menggunakan set spinning atau baitcaster dengan joran berkekuatan PE2-4.
Tali utama pula antara 20 hingga 40 paun (lb) dan shock leader antara 30 hingga 40lb. Perambut wayar tidak perlu digunakan kerana aruan tasik adalah spesies tidak bergigi.
Ini hanyalah rekomendasi set mengilat secara am, anda boleh sahaja mengurangkan atau meningkatkan kekuatan set mengikut kesesuaian dan cita rasa anda sendiri.
Ada pemancing yang gemar menggunakan set ringan untuk cabaran dan kepuasan. Ada pemancing suka guna set yang lebih berat untuk kekuatan dan masa lebih pantas untuk menaikkan ikan.
Kekuatan set pancing yang sama juga boleh digunakan untuk menunda gewang (trolling).
Saya lebih memilih gewang Halco Laser Pro 120 kerana telah banyak aruan tasik sudah saya dapat menggunakan gewang ini dan ternyata ia efektif.
Warna adalah pelbagai, tetapi saya lebih suka guna gewang yang ada warna berkilat di sisinya kerana ia dapat membiaskan cahaya matahari dengan lebih baik ketika ditunda.
Makan atau lepas?
Di negara kita, ikan aruan tasik biasanya tidak menjadi target utama pemancing. Selalunya, ia menjadi ikan yang ditangkap secara tidak sengaja (by catch). Mungkin kerana kurang pemancing yang mahu membuatkan ikan ini sebagai lauk.
Sebab itulah ada sahaja pemancing yang melepaskannya semula.
Namun, ikan ini sebenarnya digemari pemancing di luar negara terutamanya di Amerika Syarikat dan biasanya ia dipotong fillet untuk dijadikan hidangan fish and chips.
Saya biasanya masak ikan ini sebagai kari atau nuget dimakan bersama roti. Namun, jika terlalu banyak dipancing, saya akan lepaskan sebahagiannya (selected harvest) supaya ada pemancing lain boleh mendapatkannya di kemudian hari.















