fbpx
GAMBAR kenangan Allahyarham Razme (duduk, tengah) dan isterinya bersama anak-anak dan menantu pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Gambar kiri: Antara ahli keluarga dan penduduk kampung yang hadir pada pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Islam Leban Chondong, Rompin kelmarin.

‘Kalau aku tiada, pilihlah mahu tinggal dengan anak yang mana’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ROMPIN – Ungkapan ‘kalau aku tiada’ yang sering disuarakan seorang warga emas, Razme Harun, 62, menjadi petanda akan pergi selama-lamanya apabila dia maut selepas terkena peluru ketika berburu di Tebu Hitam di sini Ahad lalu.

Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu berlaku ketika Allahyarham Razme keluar memburu bersama enam rakannya sebelum senapang patah buatan sendiri meletup dan mengenai sisi dada sebelah kanan mangsa.

Anak bongsu mangsa, Norwahaniah Razme, 20, berkata, arwah sering mengungkapkan perkataan ‘kalau aku tiada’ sejak beberapa bulan lalu ketika bersama isteri dan keluarga.

Katanya, ungkapan yang di­ikuti dengan nasihat kepada anak-anak agar meneruskan kehidupan dengan baik sentiasa diingati olehnya dan sembilan adik beradik yang lain.

“Ayah sering menyatakan ungkapan itu, malah menyatakan kepada ibu ‘kalau aku tiada, pilihlah hendak tinggal dengan anak yang mana’.

“Kami tidak sangka ia menjadi petanda ayah akan pergi buat selamanya dan ungkapan berkenaan memang tidak dapat dilupakan oleh kami semua,” katanya ketika ditemui di rumah­nya di Leban Chondong di sini semalam.

Menurut Norwahaniah, se­perti tahu akan pergi buat selamanya, Allahyarham juga telah menyelesaikan hutang termasuk bil-bil utiliti selain meminta maaf kepada kawan-kawan dan saudara-mara.

Norwahaniah berkata, ayah­nya juga telah berpesan agar kereta yang baru dibeli diberi kepada salah seorang abangnya serta ada mengingatkan supaya abangnya itu segera membuat lesen memandu.

“Ayah juga menyelesaikan urusan jual beli kereta lama dengan seorang penduduk, malah ayah telah menjual semua udang galah yang ada dalam simpanan,” katanya.

Seorang lagi anak arwah, Mohamad Noor Akim Razme, 24, berkata, dia masih terkejut ke­rana tidak menyangka ayahnya yang berada dalam keadaan sihat begitu cepat pergi menyahut seruan Ilahi.

Katanya, kali terakhir dia bersama Allahyarham adalah pada hari kejadian apabila ayahnya keluar rumah awal pagi, manakala dia bertolak ke tempat kerja di Sepang, Selangor pada pukul 12 tengah hari.

“Saya sampai Sepang pukul 5 petang dan dalam tempoh 15 minit, keluarga telefon menyatakan ayah meninnggal dunia menyebabkan saya terus pulang semula ke kampung,” kata anak ke lapan daripada 10 beradik itu.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan polis, senapang patah buatan sendiri meletup dan terkena jari kelingking tangan kanan mangsa seterusnya mengenai sisi dada sebelah kanan mangsa.

Katanya, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan susulan itu pihak polis menahan lima lelaki ber­usia 35 tahun hingga 67 tahun dan seorang lelaki Orang Asli berusia 46 tahun kerana terlibat dalam aktiviti pemburuan haram.

Beliau memberitahu, pihak polis turut merampas lima laras senapang patah buatan sendiri dan selaras senapang patah jenis Benelli Armi-Urbino bersama 25 butir peluru penabur bagi membantu siasatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN