LONDON – Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger berpendapat bahawa kejuaraan Liga Europa tidak seharusnya menjadi tiket ‘percuma’ untuk kelab berkenaan beraksi ke Liga Juara-Juara.
Manchester United dan Tottenham bersaing sengit bagi merebut tempat ke perlawanan akhir Liga Europa yang akan berlangsung di Bilbao pada 21 Mei dengan kedua-dua pasukan memiliki kelebihan agregat menjelang aksi timbal balik separuh akhir.
Berdasarkan kedudukan semasa dalam carta Liga Perdana Inggeris, kedua-dua pasukan sudah mengesahkan akan menamatkan saingan liga di luar zon kelayakkan Eropah dengan The Red Devils berada di kedudukan tangga ke-15, manakala Spurs di kedudukan ke-16 ketika ini.
Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) telah mengubah peraturannya pada tahun 2014 bagi membolehkan juara Liga Europa layak ke Liga Juara-Juara pada musim seterusnya menyebabkan United dan Spurs terdesak untu muncul juara, namun Wenger tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
“Tidak, mereka sepatutnya hanya layak secara automatik ke Liga Europa sekali lagi, tetapi bukan ke Liga Juara-Juara.
“Terutama apabila anda berada dalam EPL, di mana sudah lima pasukan layak. Saya fikir ia sesuatu (untuk UEFA) fikirkan dan mengkajinya semula,” ujar Wenger.
England telah pun mengesahkan lima slot automatik untuk peringkat liga musim 2025/26, hasil daripada pencapaian cemerlang kelab-kelab dari negara itu dalam kempen Eropah musim ini.
Kejayaan mara ke separuh akhir Liga Europa menyaksikan United dan Spurs menyumbang kepada meningkatkan kedudukan kelab dari EPL ranking koefisien UEFA. – AGENSI