BARCELONA – Pengendali Barcelona, Hansi Flick sedia merombak taktikal bagi memastikan impian untuk lolos ke peringkat final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun menjadi kenyataan.
Sebagai rekod, Barcelona gagal meraih kelebihan yang diharapkan apabila seri 3-3 pada aksi separuh akhir pertama UCL bertemu Inter Milan di laman sendiri minggu lalu.
Menurut Flick, ada beberapa ‘Pelan B’ yang berada dalam fikirannya termasuk menggunakan empat pemain pertahanan bagi mengekang asakan skuad Nerrazzuri.
“Pada aksi kedua kali ini Inter pasti akan membuat perubahan taktikal dan saya juga sudah bersedia menukar strategi khususnya di benteng pertahanan. Inter mahukan gol untuk mara ke final dan kita perlu sedia.
“Selain itu, saya juga harapkan beberapa pemain yang cedera seperti Alejandro Balde dan Robert Lewandowski sempat cergas. Namun, saya tidak mahu ambil risiko dan turunkan pemain yang bersedia sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Flick turut mendedahkan posisi penjaga gol utama masih lagi menjadi milik Wojciech Szczesny walaupun Marc-Andre ter Stegen sudah membuat kemunculan semula pada aksi La Liga minggu lalu.
“Bagi aksi UCL dan perlawanan El Clasico menentang Real Madrid minggu ini, barisan kejurulatihan sudah sepakat untuk tetap menggunakan khidmat Szczesny,” katanya. – AGENSI