fbpx

Kane tamat sumpahan trofi 694 perlawanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANE akhirnya merasai perasaan sebagai juara buat kali pertama dalam kariernya selepas Bayern menjuarai Bundesliga musim ini. - AFP

BERLIN – Penantian penuh derita Harry Kane akhirnya berakhir apabila Bayern Munich dimahkotakan juara Bundesliga buat kali ke-33 selepas pencabar terdekat, Bayer Leverkusen sekadar seri 2-2 dengan SC Freiburg awal pagi semalam.

Bintang England yang digantung perlawanan kelmarin hanya mampu menyaksikan daripada bangku penonton ketika Bayern seri 3-3 menentang RB Leipzig, namun keputusan Leverkusen awal pagi semalam mengesahkannya sebagai juara ketika saingan berbaki dua perlawanan.

“Saya tak tahu nak kata apa. Perasaan ini sangat luar biasa. Selepas sekian lama mencuba, akhirnya saya dapat rasakan juga nikmat menjadi juara,” kata Kane.

Kane yang berusia 31 tahun sebelum ini sering dipersendakan kerana gagal meraih sebarang kejuaraan sepanjang kariernya meskipun memiliki pelbagai anugerah individu termasuk penjaring terbanyak sepanjang zaman England dan bekas ‘mesin gol’ Tottenham Hotspur.

Kemenangan itu bukan sahaja menamatkan ‘sumpahan trofi’ Kane, malah mengembalikan keunggulan Bayern selepas musim lalu mereka gagal menjulang sebarang piala buat kali pertama dalam tempoh sedekad.

Musim ini, anak-anak buah Vincent Kompany tampil garang sejak awal kempen dan kini mengumpul 76 mata, lapan mata di depan Leverkusen sekali gus mencuri kembali mahkota Bundesliga daripada genggaman skuad Xabi Alonso.

“Saya bangga dengan semua pemain. Musim ini penuh cabaran tapi kita berjaya atasinya bersama. Ini hasil kerja keras semua,” kata Kompany.

Bayern dijangka menerima trofi rasmi dalam aksi terakhir di Allianz Arena menentang Borussia Monchengladbach pada Sabtu ini, manakala Kane berpeluang menambah jaringan selepas meledak 24 gol musim ini dan kekal dalam perebutan kasut emas Bundesliga. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI