KUALA TERENGGANU – Hasrat tiga lelaki menyertai perhimpunan motosikal Yamaha RXZ di Kuantan, Pahang tidak kesampaian apabila mereka terbabit dalam kemalangan Kilometer 430, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) di sini hari ini.
Nahas pada pukul 8.45 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohamad Faizal Adam Azhar, 31, dari Kubang Kerian, Kelantan maut akibat parah pada kepala dan beberapa anggota badan.
Dua lagi mangsa iaitu Muhammad Zarul Asyraf Mukhtar, 26, dan Muhammad Arif Che Mahisan, 29, yang juga menunggang motosikal RXZ masing-masing parah pada kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, ketiga-tiga mangsa dari Kelantan dalam perjalanan menyertai perhimpunan motosikal Yamaha RXZ di Teluk Cempedak, Kuantan.
“Kemalangan berpunca apabila Yahama RXZ ditunggang Muhammad Arif dari Bunut Susu, Pasir Mas dikatakan dirempuh dari arah belakang oleh motosikal Mohamad Faizal Adam.
“Pelanggaran itu menyebabkan motosikal Muhammad Arif menggelungsur ke hadapan lalu merempuh motosikal Muhammad Zarul Asyraf dari Jekam Tekoh, Gua Musang,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, ketiga-tiga motosikal mangsa terjatuh dan terseret sejauh beberapa meter. Motosikal Mohamad Faizal Adam dikatakan tercampak ke dalam longkang di tepi lebuh raya. – KOSMO! ONLINE