fbpx
ANUAR (kiri) bersama isteri serta kakak ipar dan birasnya di luar pekarangan Masjid Nabawi, Madinah semalam.

Anuar Ibrahim, isteri terpilih pergi haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MADINAH – Seorang juruteknik kilang kenderaan di Ayer Keroh, Melaka mencuri tumpuan jemaah haji lain apabila namanya mirip Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lelaki berkenaan, Anuar Ibrahim, 30, merupakan jemaah pe­nerbangan KT003 yang tiba di Madinah kelmarin.

Menurut Anuar, dia mene­mani isterinya, Amira Nabihah Jaafar, 30, sebagai mahram selepas wanita itu mendapat panggilan untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.

Tidak terdetik di hati saya buat masa ini, akan sampai ke sini, namun rezeki isteri dapat pada kali ini dan saya ke sini sebagai mahramnya.

“Berkenaan nama saya, ejaan sedikit berbeza dengan Perdana Menteri kita. Cuma di sini saya kebetulan diberi penginapan di Hotel Anwar al Madinah Mo­venpick,” katanya ketika ditemui selepas program ziarah dalam ke Masjid Nabawi semalam.

Amira Nabihah yang merupakan seorang akauntan berkata, lebih manis apabila dia bersama dua kakaknya menerima panggilan haji kali ini.

“Alhamdulillah, saya serta dua kakak menerima panggilan sekali gus. Cuma saya dan Alyaa Nadhira, 35, dapat satu kumpulan yang sama. Kakak yang sulung dalam kumpulan berbeza dan penerbangannya terus ke Mekah hujung Mei nanti.

“Saya dan suami tidak pernah ke Tanah Suci. Ini kali pertama dan kami akan mengerjakan umrah dan haji. Cuma sedikit cabaran buat kami suami isteri apabila terpaksa meninggalkan anak berusia tiga tahun di tanah air,” katanya.

Dalam pada itu, Alyaa Nadhira yang merupakan doktor Klinik Kesihatan Pekan Nanas, Pontian berkata, tiada kata-kata mampu diluahkan selepas mereka tiga beradik dijemput menjadi ­dhuyufurrahman.

“Ini adalah jasa ibu bapa yang telah menabung dari awal serta mendaftarkan kami untuk haji sejak tahun 2009,” katanya.

Dia ditemani suaminya, Mohamad Shahizad Sarjudin, 35, sebagai ­mahram.

Sementara itu, Pengurus Ibadat Haji Madinah, Mohamad Zahir Hussin@Yusof berkata, semalam kumpulan jemaah haji KT001, KT002 dan KT003 menjalani program ziarah dalam di mana mereka dibawa melawat sekitar Masjid Nabawi.

“Jemaah-jemaah ini diberikan penerangan oleh pembimbing ibadah haji Tanah Suci di Madinah ini berkaitan adab-adab menziarahi Madinah.

“Bagaimana adab memasuk Raudah, menziarahi makam Rasulullah SAW, seterusnya dibawa menziarahi Perkuburan Baqi.Jadi kita minta jemaah haji yang masih di Malaysia bersedia da­tang ke Tanah Suci seperti menjaga kesihatan untuk program yang telah diatur,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN