KONSEP fesyen sopan atau dikenali sebagai modest merupakan antara gaya pemakaian yang tidak mendedahkan kulit secara berlebihan dan pada masa sama selesa serta sesuai dengan nilai-nilai peribadi atau keagamaan seseorang.
Ramai yang keliru dengan fesyen sopan dan Muslimah memandangkan kedua-duanya mempunyai ciri pemakaian menutup aurat, namun jika diteliti mempunyai gaya pemakaian yang berbeza.
Konsep sopan yang ideal untuk pelbagai agama, bangsa dan individu menjadi identiti kepada pempengaruh fesyen, Tasnim Shah yang menghasilkan TA by Tasnim Shah.
Menurut Tasnim, terjemahan fesyen sopannya merupakan pemakaian yang menterjemah idea pakaian tertutup dalam gaya yang ringkas dan moden.
“Fesyen sopan TA by Tasnim Shah adalah cerminan gadis tempatan yang ingin berfesyen tanpa perlu mengenakan pakaian seksi atau mendedahkan kulit, malah semua wanita boleh menggayakannya meskipun mereka tidak bertudung.

“Hal ini membezakan fesyen sopan dengan Muslimah dan ia diterapkan dalam setiap koleksi pakaian kerana juga merupakan identiti saya sebagai seorang pempengaruh selama hampir 10 tahun,” katanya ketika ditemui CitaRasa di Ruema Cafe & Event Space, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambahnya, ilhamnya dalam menghasilkan setiap koleksi datang dari dunia sekeliling dan orang yang ada di sekitarnya, selain melakukan pemerhatian terhadap fesyen serta trend semasa.
Berkongsi tentang fesyen TA by Tasnim Shah, Tasnim memberitahu rekaan pakaiannya banyak mengolah fesyen baju kurung, dress dan kasual dalam gaya moden, elegan dan ringkas.
Untuk koleksi baju kurung, Tasnim bermain dengan gabungan pakaian tradisi itu serta kaftan, kurung panjang dan selendang serta kaftan dress bercorak.
Gabungan kurung dan kaftan merupakan pakaian signatur TA by Tasnim Shah yang direka sejak tiga tahun lalu dan koleksinya masih dikekalkan sehingga kini.

“Kurung kaftan adalah rekaan dalam siluet kurung yang digabungkan dengan lengan ala kaftan, mencerminkan kesopanan dalam elemen moden menerusi potongan baju pendek dan pemakaian yang longgar sesuai untuk pelbagai lapisan umur.
“Koleksi juga dihasilkan dalam pelbagai warna yang terang (bold) dan pastel serta boleh digayakan untuk pelbagai acara dan majlis, malah sebagai persalinan kerja,” ujarnya yang juga sedang mengikuti pengajian dalam bidang perundangan.
Bagi koleksi lain, Tasnim turut berkongsi bahawa elemen fesyen sopannya juga tampil dengan rekaan kurung panjang bersama selendang yang kini menjadi trend semasa.
Bagi kaftan dress bercorak pula, koleksi ini dihasilkan secara eksklusif kerana setiap coraknya adalah lukisan sendiri oleh pereka tempatan.
Kongsinya, kaftan dan dress juga ditampilkan dalam pelbagai rekaan seperti kaftan pendek berkain serta dress dengan elemen drape atau cape beralun yang memberi elemen elegan.
Koleksi pakaiannya dihasilkan daripada fabrik kapas, sifon, sutera Santorini dan twill.
















