BERMAIN piano merupakan salah satu bentuk ekspresi diri yang menggabungkan emosi, kreativiti dan disiplin.
Bagi Ching Jin Chee, setiap sentuhan pada kekunci piano membawa makna tersendiri, sekali gus membolehkannya meluahkan perasaan tanpa perlu kata-kata.
Mula bermain piano sejak usia kanak-kanak, pemuda yang kini berusia 20-an itu mampu memainkan lagu dengan hanya sekali dengar.
Namun ketika di universiti, graduan Sarjana Muda Sains Bioteknologi dari Universiti Tunku Abdul Rahman itu mula bereksperimen dalam persembahannya.
“Saya tak pergi latihan industri macam pelajar lain, sebaliknya saya kerja sambilan di sebuah sekolah merangkap kedai peralatan muzik.
“Jika tak ada orang di kedai, saya akan main semua piano di situ dan cuba bermain dengan posisi pelik. Dari situlah semuanya bermula,” katanya kepada K-Remaja.
Keputusan untuk mempersembahkan gaya uniknya di tempat umum tercetus selepas melihat video seorang pemain piano dari China, Duan Jun.
Duan yang juga seorang guru muzik cukup terkenal dengan gaya permainan piano unik.

Walaupun percubaannya meniru gaya Duan mencabar dari segi fizikal, namun Jin Chee bersyukur kerana belum pernah mengalami sebarang kecederaan.
Setakat ini, terdapat dua gaya yang menjadi kegemarannya iaitu bermain sambil baring dan menyilangkan tangan.
Kongsinya, setiap persembahan umum yang dilakukannya akan dirakam dan dimuat naik ke laman TikTok miliknya, @virtuosojinz_oe.
“Saya cuba melakukan pelbagai gaya ketika membuat persembahan. Namun, ada dua gaya yang sering saya lakukan di hadapan khalayak.
“Bukan mudah untuk memastikan tangan menekan nota kekunci yang betul ketika badan tidak berada dalam posisi selesa.
“Namun setakat ini, saya berjaya melakukannya tanpa sebarang kecederaan dan mula mendapat perhatian dalam TikTok,” katanya.

Pemuda dari Klang, Selangor itu turut menyenaraikan tiga pemain piano dunia yang mempengaruhi gaya muziknya iaitu Maksim Mrvica, Richard Clayderman dan Animenz.
Koleksi lagu yang sering dimainkan oleh Jin Chee merangkumi lagu pop dan anime seperti Yoasobi – Racing into the Night, Senbonzakura, Call of Silence, Specialz, serta lagu klasik Melayu iaitu Getaran Jiwa.
Dia mendapati lagu-lagu pop lebih menarik perhatian berbanding lagu klasik.
Jin Chee juga sering muncul secara spontan di lokasi-lokasi yang menempatkan piano awam.
Antaranya di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), BookXcess MyTown, LaLaport, Pasar Seni, Masjid Jamek, Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Tamarind Square dan Lot 10.
Tambah Jin Chee, keyakinan tinggi diperlukan untuk melakukan persembahan di khalayak umum, namun dia sukakan cabaran tersebut.
“Saya tidak melihat respons penonton kerana saya akan menumpukan sepenuh perhatian untuk tidak terlepas sebarang nota.
“Namun, selepas saya selesai bermain, saya akan dengar tepukan gemuruh daripada orang awam yang mengelilingi saya,” katanya.
















