PERTEMUAN penulis dengan pemuda berusia 33 tahun itu berjalan lancar seperti apa yang dirancang. Sekali imbas, lelaki berketinggian hampir 170 sentimeter itu nampak normal seperti jejaka lain di luar sana.
Pun begitu, setelah mendekati pemilik nama Nur Arif Jasmin itu, penulis merasakan ada sesuatu yang istimewa dianugerahkan oleh Tuhan kepada dirinya.
Didiagnos dengan masalah autisme sejak lahir, Nur Arif sebelum ini pernah tular dan menuai perhatian ramai apabila berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana.
Lebih membanggakan, meskipun dilahirkan tidak sempurna seperti orang lain, dia kini berada di tahun ketiga dalam pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Hal ini membuktikan bahawa kekurangan bukanlah alasan atau tembok penghalang bagi seseorang itu untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan.
Berkesempatan menemu bual jejaka autisme kelahiran Tanjung Malim, Perak itu baru-baru ini, Nur Arif sampai tepat pada waktunya di tempat dijanjikan.
Meskipun sibuk dengan jadual padat pengajian dan aktiviti lain di kampus, dia tetap mencuri sedikit masa untuk ditemu bual oleh K-Kampus, sekali gus berkongsi mengenai kisahnya.
Proses temu bual secara santai itu turut dibantu oleh Ketua Unit Perkhidmatan Kelainan Upaya (DSU), UIAM, Prof. Dr. Ruzita Mohd. Amin.
Beliau juga merupakan insan pertama di UIAM yang mengenali dan mendekati Nur Arif sekitar lapan tahun lalu.
“Saya kurang sihat hari ini. Gigi saya sakit sejak semalam lagi.
“Tapi tak apa, saya sudah makan panadol tadi dan sekejap lagi mesti okey.”
Itulah ungkapan pertama yang keluar dari mulut Nur Arif sambil berbaring di atas lantai di pejabat DSU usai bersalaman dengan penulis sebagai tanda perkenalan.
Meskipun aksi (berbaring) itu kelihatan agak janggal bagi sesetengah orang, namun ia merupakan perkara biasa bagi mereka yang mengenali susuk istimewa itu.
Selepas beberapa minit berlalu, dia lantas duduk bersila dan meminta supaya proses temu bual dimulakan segera.
Bagaimanapun, Nur Arif enggan duduk di kerusi disediakan kerana berasa lebih selesa berada di atas lantai.

Permintaannya untuk duduk di atas lantai dituruti. Proses temu bual bermula dengan Nur Arif memperkenalkan diri dan latar belakang pendidikannya.
“Saya lahir di Perak dan membesar di Johor. Ibu saya seorang guru mengaji dan keluarga memang mahu saya masuk kolej al-Quran.
“Sebenarnya, saya pernah sambung belajar di sebuah kolej agama usai tamat Sijil Tinggi Agama Malaysia, tetapi tak lama, saya pun tak happy belajar di sana.
“Atas bantuan abang yang mengajar di Universiti Malaya, dia memperkenalkan dan meminta saya untuk mohon masuk ke UIAM.
“Sejak 2015, saya diterima masuk untuk buat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Fiqh dan Usul Fiqh),” katanya.
Meneruskan cerita, Nur Arif mengakui pada peringkat awal, dia berasa begitu terasing dan tidak tahu bagaimana ingin membawa diri di kampus.
Ujarnya, dia pernah beberapa kali gagal dalam subjek yang diambil kerana pensyarah dan pihak universiti tidak tahu masalah autisme dihadapinya.
Memasuki tahun ketiga pengajian atau lebih tepatnya pada 2017, Nur Arif dipertemukan dengan Dr. Ruzita yang juga merupakan salah seorang pensyarah dalam kategori orang kurang upaya (OKU) di DSU.
Sejak itu, pihak universiti baru tahu bahawa Nur Arif mengalami masalah autisme (moderate) dan memerlukan bantuan serta tindakan lanjut.
Disebabkan Nur Arif masih tiada kad OKU ketika itu, pihak DSU telah membantu mendaftar dan mendapatkan kad tersebut daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Lepas saya jumpa ibu (Dr. Ruzita), barulah saya rasa seronok hendak belajar dan nampak jalan untuk berjaya.
“Selepas itu, saya jadi rajin datang ke kelas dan sudah tidak gagal lagi.
“Semua kuiz saya jawab. Pensyarah pun sudah tidak ‘gagalkan’ saya lagi kerana mereka tahu kekurangan saya,” katanya.
Selepas hampir lima tahun menyempurnakan pengajian, anak ketujuh daripada lapan beradik itu berjaya menggenggam ijazah peringkat sarjana muda.
Sebaik saja menamatkan pengajian, dia terus nekad untuk mengambil ijazah sarjana pula dalam bidang al-Quran dan sunnah.
Nur Arif berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana selama tiga tahun.
Dengan tahap kesihatan yang baik dan sokongan berterusan daripada keluarga, pihak DSU, pensyarah serta rakan-rakan, Nur Arif terpanggil untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD dalam bidang al-Quran dan sunnah pada 2022.
“Pakai redah sahaja. Itu apa yang saya akan jawab kalau ada orang tanya mengenai keputusan saya untuk menyambung pengajian sehingga sampai tahap ini.
“Saya suka dan seronok belajar. Buat PhD lagi seronok, ia tidak susah seperti buat degree (ijazah sarjana muda) atau master (ijazah sarjana).
“Sekarang ini pun saya baru sahaja habis semua kelas. Selepas ini, saya akan memberi tumpuan kepada penulisan tesis.
“Saya juga sudah bertemu dengan penyelia tesis. Saya merancang hendak tulis mengenai autisme dari aspek al-Quran dan sunnah. Namun, ia masih di peringkat cadangan,” katanya.
Diajukan pertanyaan mengenai perjalanan hidupnya sebagai anak autistik, Nur Arif memaklumkan, dia sedar mengenai kekurangan diri sejak di sekolah rendah.
Pun begitu, dia tidak pernah malu dengan kekurangan diri dan tetap ke sekolah seperti orang lain kerana ingin belajar bersama rakan-rakan.
“Masa sekolah dulu, ada cikgu dan kawan-kawan pernah cakap saya ini gila dan tidak betul.
“Ketika itu, saya masih tidak faham apa maksud mereka, namun lama-kelamaan saya mula faham dan sedar dengan kekurangan diri.
“Ketika awal-awal masuk ke universiti, perkara sama berulang dalam kalangan rakan-rakan sekuliah dan segelintir tenaga pengajar.
“Namun, saya tak salahkan mereka kerana masa itu ramai tidak tahu kekurangan saya.
“Selepas saya ada kad OKU serta ada rekod kesihatan, barulah mereka tahu dan meminta maaf kepada saya.
“Saya bukan gila, saya cuma autisme sahaja. Badan saya memang dewasa, tetapi mental saya sama macam kanak-kanak berumur sembilan tahun.
“Saya sudah maafkan mereka. Mereka pun banyak bantu saya untuk sampai ke tahap ini.
“Ibu (Dr. Ruzita) dan kakitangan lain di DSU juga banyak membantu serta menerima saya macam keluarga sendiri,” katanya sambil berterima kasih kepada UIAM kerana memberi kelonggaran dan bantuan kepadanya sepanjang di kampus.
Seperkara lagi, minat dan bakat Arif dalam penulisan juga tidak boleh disangkal.
Buktinya, dia pernah menulis sebuah buku berjudul Fiqh Autisme, di mana edisi pertamanya diterbitkan sekitar 2023 dan edisi kedua pada tahun lalu.
Buku itu memberikan penerangan secara mudah dan ringkas berkenaan hukum fiqh bagi seseorang yang mengalami autisme.
Naskhah tersebut turut memuatkan koleksi penulisan dan perkongsian Nur Arif dalam Facebook miliknya.
Pencapaian luar biasa yang diraih oleh Nur Arif membolehkannya diangkat sebagai Ikon Anak Istimewa (Autisme) peringkat negeri Selangor pada 2023.
Mengulas mengenai perancangan selepas menamatkan pengajian kelak, Nur Arif memberitahu, dahulu semasa kecil, cita-citanya hanya satu iaitu menjadi adiwira seperti dalam siri Power Rangers.
Bagaimanapun, selepas meningkat dewasa, dia mula menyimpan hasrat untuk bergelar pensyarah usai tamat pengajian PhD nanti. Dia juga mahu menjadi contoh dan membakar semangat individu autisme lain, selain membantu memperjuangkan hak golongan itu di negara ini.
Menutup kisah, Nur Arif memberitahu, dia juga menyimpan hasrat untuk berumah tangga dan mempunyai keluarga sendiri seperti orang lain.














