fbpx
Gambar hiasan

Ingkar arahan TTPM, denda bakal menanti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WARTWAN EKSEKUTIF, NUZULSHAM SAMSUDDIN

BULAN lalu, pelakon dan penerbit Boy Iman dan syarikatnya, DBI Properties Sdn. Bhd. didenda­ RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya atas pertuduhan gagal mematuhi award (perintah) Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) empat tahun lalu.

Majistret Shah Wira Abdul Halim menjatuhkan hukuman denda itu sebanyak RM3,000 terhadap Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A. Rahman, 41, dan RM2,000 terhadap syarikatnya iaitu DBI Properties.

Hukuman itu dijatuhkan selepas selebriti itu selaku orang kena saman (OKS) mengaku salah atas kedua-dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Boy Iman dan DBI Properties didapa­ti ingkar arahan yang dibuat di pe­jabat TTPM Putrajaya bertarikh 28 Februari 2017 yang memerintahkannya membayar RM12,000 kepada pihak menuntut selepas 14 hari dari tarikh award itu.

Kesalahan dilakukan di Pejabat TTPM Aras 5, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya pada 5 Oktober 2017.

Pada Ogos 2018, seorang pe­ngarah syarikat pengendali pakej umrah pula didenda RM18,000 di Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu kerana gagal mematuhi perintah TTPM untuk memulangkan wang enam jemaah umrah bernilai RM30,900.

Dua kes yang disebutkan itu antara contoh selepas mereka selaku penentang gagal mematuhi award TTPM sehingga terpaksa didakwa di mahkamah.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Azman Adam berkata, sebagai sebuah kementerian yang mene­gakkan hak-hak kepenggunaan, pihaknya memandang serius isu ketidakpatuhan award.

“Jika si penentang gagal hadir ke mahkamah, KPDNHEP tidak akan tergagak-agak membawa ke muka pengadilan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Ujarnya, kementerian mempunyai kuasa untuk mendakwa­ mereka yang ingkar award mengikut Seksyen 117(1) Akta Pelindungan Pengguna 1999 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum 10,000 atau penjara sehingga­ dua tahun jika sabit kesalahan.

Azman berkata, sebagai contoh dalam kes terbaharu pihak KPDNHEP berjaya memberkas seorang lelaki berusia 30-an pada November dua tahun lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atas kesalahan tidak mematuhi award yang kemudian berjaya menuduhnya di mahkamah.

“Apa yang ditegaskan di sini meskipun hanya kesalahan tidak mematuhi award serta gagal ha­dir di mahkamah, pihak berkuasa­ boleh menangkap dan mengesan mereka,” ujarnya.

Ditanya adakah masih ramai pihak menganggap TTPM sebuah ‘mahkamah tidak penting’, Azman tidak menolak anggapan itu kerana masih ramai yang ingkar award yang dikeluarkan.

TTPM adalah satu badan bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Bahagian XII Akta Pelindungan Pengguna 1999 [Akta 599] dan diletakkan di bawah KPDNHEP.

Ia berfungsi untuk mendengar dan mengadili tuntutan-tuntutan yang difailkan pengguna di bawah Akta 599.

Sebelum penubuhan tribunal ini, semua pertikaian antara pengguna dan peniaga, pembekal atau pengilang barang atau pembekal perkhidmatan difailkan dan didengar di mahkamah sivil.
Namun, ia melibatkan prosedur rumit, kos tinggi dan masa yang panjang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI