fbpx

Lebih RM500,000 kompaun dikeluarkan kepada peniaga ayam dan telur – KPDNHEP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman ketika bercakap pada sidang akhbar selepas Program 'Sihat Ke Saya' anjuran Pusapanita Cawangan KPDNHEP di Putrajaya di sini, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan kompaun bernilai kira-kira RM534,200 kepada pengeluar, pemborong dan peruncit ayam serta telur di atas pelbagai kesalahan bermula 5 Februari lalu hingga semalam.

Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, kompaun itu membabitkan 2,205 tindakan kes masing-masing terhadap 13 pengeluar, 54 pemborong dan 2,138 peruncit.

Beliau berkata, ia membabitkan tiga kesalahan utama iaitu menjual ayam dan telur melebihi harga maksimum, tiada tanda harga merah jambu dan tidak meletak tanda harga.

“Ia turut membabitkan nilai sitaan keseluruhan sebanyak RM336,634.80 iaitu masing-masing RM27,342.30 bagi pemborong dan RM309,292.50 bagi peruncit.

“Dalam pada itu, seramai 153 peniaga didapati menjual ayam dan telur melebihi harga maksimum, 1,980 gagal mempamerkan tanda harga merah jambu manakala 72 tidak meletakkan tanda harga,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Program ‘Sihat Ke Saya’ di sini hari ini.

Ujar beliau, bagi telur ayam pula, seramai 22 peniaga didapati menjual melebihi harga maksimum bagi telur gred A, B, dan C, 1,654 (tiada tanda harga merah jambu) dan 38 peniaga tidak mempamer tanda harga.

Azman berkata, bagi tempoh sama, sebanyak 142,019 pemeriksaan telah dilakukan selain 223 aduan diterima KPDNHEP.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga, jumlah tindakan kes paling tinggi dikesan di Perak dengan 272 kes diikuti Kelantan (270), Kedah (268), Johor (244), Selangor (182), Pahang (174), Sarawak (173), Sabah (148), Negeri Sembilan (117) dan Melaka (102).

“Kita minta kerjasama semua pihak supaya dapat berikan aduan dan maklumat yang betul bagi memudahkan tindakan diambil,” katanya.

Semalam Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam, memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan penjualan telur ayam didakwa mencecah RM17 sepapan seperti dilaporkan media.

Menurutnya, sekiranya terdapat peniaga menjual telur ayam gred kawalan melebihi harga yang sepatutnya, aduan boleh dibuat kepada pihaknya bagi membolehkan siasatan dijalankan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI