GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd Sukki Othman menempelak penganjuran melibatkan sekumpulan wanita menari dalam keadaan separuh bogel ketika pesta Songkran di pantai Batu Ferringhi, hujung minggu lalu.
Beliau bagaimanapun menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan tidak bermoral itu yang bukan sahaja mencemarkan imej destinasi pelancongan terkenal tersebut malah menyinggung sensitiviti agama.
“Perbuatan ini juga turut mencemarkan nilai budaya masyarakat Malaysia yang berpegang kepada adat ketimuran dan ajaran Islam sebagai agama Persekutuan. Islam amat menekankan nilai maruah, kesopanan dan penjagaan aurat lebih-lebih lagi di tempat awam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurut Mohd. Sukki, perbuatan membuka aurat dan berkelakuan tidak senonoh di khalayak adalah jelas bercanggah dengan ajaran Islam dan merupakan suatu kemungkaran yang mesti dicegah.
“Firman Allah SWT : Dan janganlah kamu menghampiri zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)(Surah al-Isra’: 32).
“Selain itu, pihak pengurusan tempat pelancongan memperketat garis panduan serta pengawasan dan masyarakat juga harus memainkan peranan dalam mencegah kemungkaran awam secara berhikmah,” katanya. – KOSMO! ONLINE