PETALING JAYA – Pemergian Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi meruntun hati ramai orang apabila pertemuan dua isteri bekas Perdana Menteri berpelukan dan bertanya khabar.
Kedua-dua yang pernah menjadi ‘first lady’ ini berpelukan ketika bertembung selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah di Masjid Negara hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilihat beramah mesra dengan pemimpin parti pembangkang, kini giliran isteri Perdana Menteri ke-6, Datin Seri Rosmah Mansor pula dilihat berpelukan dengan isteri Perdana Menteri Ke-4 dan 7, Tun Hasmah Mohd. Ali.
Klip tular tersebut telah dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok @FSCO, yang memaparkan tulang belakang kepada bekas pemimpin-pemimpin negara bertemu setelah didakwa memiliki konflik politik.
“Sayup hati melihat dua insan kuat dibelakang bekas-bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak,” ujarnya.
Momen menyayat hati tersebut dirakam ketika kedua-duanya hadir di Makam Pahlawan bagi istiadat pengebumian Allahyarham Tun Abdullah, yang menghembuskan nafas terakhirnya malam semalam.
“Begitu sayangnya Datin Seri Rosmah pada Tun Hasmah walaupun terpisah dengan Datuk Seri Najib yang berada di penjara, ikatan yang tidak akan putus,” komen @NurFiya.
“Air mata meleleh menyaksikan para isteri bekas-bekas Perdana Menteri Malaysia masih kekalkan ukhuwah. Semoga negara kita sentiasa aman damai dan dilindungi Allah S.W.T dari segala kejahatan dan musuh negara,” kata @AdillahAbdullah. – KOSMO! ONLINE