fbpx
AI bantu memadankan calon dengan peluang pekerjaan ditawarkan secara lebih berkesan. – Gambar hiasan

K2

AI tingkat kecekapan urus sumber manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP tahun, pelbagai teknologi baharu muncul dengan menawarkan jaminan untuk memudahkan urusan harian manusia. Hal itu termasuk perkembangan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan sumber manusia (HR).

Menurut Pengarah Pusat Tenaga Kerja Kontingen Persolkelly Malaysia, Haida Tahir, AI bakal mengubah cara pemain sumber manusia, sekali gus membantu meningkatkan kecekapan dan memperbaiki perancangan tenaga kerja.

Kehadiran AI juga membolehkan keputusan dibuat berdasarkan data dengan kemampuan menganalisis maklumat dalam skala besar berbanding secara manual oleh manusia.

“Dahulu, tugas pengurusan HR banyak melibatkan kerja pentadbiran yang memakan masa seperti pengurusan gaji, faedah pekerja dan pemantauan pematuhan.

“Kini, AI dapat melakukan tugas berkenaan secara automatik. Oleh itu, pengurusan HR boleh memberi tumpuan kepada strategi tenaga kerja, pengalaman pekerja dan matlamat perniagaan.

“Bukan sahaja dapat menyelesaikan tugas dengan cepat, malah AI mampu menganalisis sejumlah besar data pekerja bagi mengenal pasti corak penglibatan pekerja, prestasi dan kadar pengekalan.

“AI membantu organisasi membuatkan keputusan lebih awal dan mengurangkan risiko kehilangan tenaga kerja.

“Analitik ramalan membolehkan pengurusan HR mengenal pasti masalah pekerja sebelum ia menjadi lebih serius.

“Analisis sentimen berasaskan AI membantu organisasi memahami tahap kepuasan pekerja secara masa nyata, selain menangani isu tempat kerja agar tidak menjejaskan produktiviti,” katanya.

Organisasi yang menggunakan AI juga perlu memastikan pekerja mereka bersedia dalam membina tenaga kerja lebih stabil dan berdaya tahan.

“AI bukan lagi konsep masa depan dalam industri HR, tetapi menjadi sebahagian daripada pengurusan tenaga kerja.

“Kami menggunakan alat berasaskan AI untuk mempercepatkan proses pengambilan pekerja, meningkatkan analisis tenaga kerja dan memperbaiki pengalaman pekerja secara keseluruhan.

“Penggunaan AI untuk memadankan calon dengan peluang pekerjaan secara lebih berkesan dengan menganalisis kemahiran, pengalaman dan trend pengambilan, di samping mempercepatkan proses pencarian bakat yang sesuai untuk majikan,” katanya.

Mengulas lanjut tentang AI, Haida berkata, teknologi digital itu mampu dijadikan chatbot iaitu pembantu maya berasaskan AI.

Ia dapat mengubah cara pekerja berinteraksi dengan jabatan pengurusan HR.

“AI juga mampu memberi respon segera kepada pertanyaan pekerja seperti dasar cuti atau faedah, sekali gus mengurangkan beban pihak pengurusan HR.

“Teknologi AI juga digunakan dalam program pembelajaran dan pembangunan.

“Ia menawarkan cadangan latihan yang sesuai mengikut matlamat kerjaya dan mengenal pasti jurang kemahiran seperti prestasi pekerja,” ujarnya.

Biarpun peralihan kepada penggunaan digital tidak melibatkan emosi, namun Haida menegaskan, tenaga kerja manusia perlu digunakan dalam hal terkait emosi agar dapat mencapai keputusan lebih berperikemanusiaan.

“Pada masa hadapan, AI akan terus mendorong inovasi dalam pengurusan sumber dan memberikan kemudahan serta impak kepada peralihan perkhidmatan HR.

“AI juga akan menyesuaikan faedah pekerja, jadual kerja dan rancangan pembangunan kerjaya berdasarkan keutamaan individu serta pandangan berasaskan data.

“Walaupun AI meningkatkan kecekapan dan ketepatan dalam membuat keputusan, namun elemen manusia tetap penting dalam sumber manusia.

“Misalnya, dalam situasi yang memerlukan empati dan pertimbangan yang lebih mendalam,” katanya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN