Siti Nora Akma menunjukkan cermin tingkap yang dipecahkan kera di Kampung Bukit Pelong, Setiu semalam.

Kera jadi tetamu hari raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIU – Seorang peniaga dalam talian pening memikirkan rumahnya sering menjadi sasaran sekumpulan kera liar di Kampung Bukit Pelong, di sini sejak setahun lalu.

Kumpulan kera yang datang dari belukar berhampiran didakwa kerap merosakkan harta-benda dan melarikan makanan milik keluarga Siti Nora Akma Mohd. Ghazali, 36, termasuk kejadian terbaru berlaku pada 1 Syawal lalu.

Katanya, sepanjang bulan Ramadan lalu, rumahnya telah empat kali di­cerobohi kumpulan kera terbabit.

“Biasanya kera-kera itu akan memasuki rumah saya menerusi ruang angin atau memecahkan cermin tingkap nako.

“Kumpulan kera liar terbabit semakin agresif sejak akhir-akhir ini menyebabkan kami sekeluarga berada dalam ketakutan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ujarnya, setiap kali menceroboh, kumpulan kera terbabit pasti akan merosakkan peralatan dapur, lampu dan cermin tingkap.

“Makanan kering seperti biskut, beras dan mi segera yang diletakkan di dapur juga kerap dilarikan kumpulan kera terbabit.

“Kemuncaknya rumah kami dicerobohi haiwan liar itu pada petang 1 Syawal sewaktu kami sekeluarga tiada kerana keluar beraya.

“Habis juadah raya seperti nasi minyak, gulai ayam dan rendang bersepah di lantai ‘di­kerjakan’ kumpulan kera terbabit,” katanya.

Suami Siti Nora Akma, Fairul Aznizam Zahari, 39, berkata, kumpulan kera itu tetap menjadikan rumahnya yang terletak di pinggir belukar sebagai sasaran walaupun dia telah menutup semua ruang angin terdapat di rumahnya.

Katanya, dia kini terpaksa menyorokkan makanan di dalam bilik tidurnya bagi mengelak dicuri haiwan liar itu.

“Kami mohon Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat membantu mengatasi segera masalah gangguan kera liar ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN