fbpx

BAM tak bagi muka pemain beregu keras kepala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEPUTUSAN berani Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memisahkan gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei nyata mencetuskan perhatian peminat sukan tanah air.

Perpisahan beregu campuran negara tersebut dilihat bakal mendatangkan kesan terutama kedudukan ranking mereka yang kini menduduki No. 4 dunia.

Pun begitu, tindakan keras BAM memisahkan gandingan ‘Gangster Duo’ itu adalah demi kebaikan bersama berikutan prestasi tidak konsisten serta ketegangan hubungan mereka berdua.

Antara faktor itu BAM berasakan sudah tiba masa untuk kedua-dua pemain diberi ruang menilai hala tuju masing-masing apabila difahamkan kedua-dua mereka mula tiada persefahaman sejak Sukan Olimpik Paris 2024 Ogos lalu.

Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky secara terbuka memberi amaran bahawa perpisahan Tang Jie-Ee Wei perlu dijadikan iktibar terutama kepada pemain remaja.

Rexy turut memberi gambaran bahawa pemain yang gagal mengutamakan semangat berpasukan mungkin akan menerima nasib sama.

Menurut Rexy, tindakan memisahkan Tang Jie dan Ee Wei dibuat untuk memberi peluang kepada kedua-dua pemain menilai semula hala tuju serta gambaran yang lebih jelas mengenai masa depan mereka sebagai gandingan utama negara.

“Kita tidak mahu pemain hanya fikir diri sendiri. Dalam beregu, kita perlu susah dan senang bersama, malah bekerjasama mengendali tekanan dengan naik.

“Saya mahu pemain muda belajar bahawa dalam acara beregu, kita perlu saling membantu, bukan sekadar bergantung kepada kemahiran sendiri sahaja. Ini pengajaran dan amaran,” kata Rexy.

Rexy mendedahkan situasi itu bukan sahaja memberi kesan kepada persefahaman mereka, malah boleh menjadi pengajaran kepada pemain muda lain yang bakal membentuk pasangan beregu di masa depan.

“Langkah ini mampu membuka mata kepada pemain remaja,” ujarnya.

BAM juga mendedahkan bahawa Tang Jie akan digandingkan bersama Chan Wen Tse, manakala Ee Wei bakal beraksi bersama Loo Bing Kun dalam lima kejohanan utama bermula Mei ini sebagai ujian pertama untuk kombinasi baharu mereka.

Antara kejohanan yang akan menjadi medan ujian ialah Terbuka Taiwan, Terbuka Thailand, Malaysia Masters, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.

Rexy dan ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto meletakkan tiga kejohanan awal sebagai penanda aras utama bagi menilai keberkesanan gandingan baharu ini sebelum membuat keputusan seterusnya.

Sejak digandingkan pada hujung 2022, Tang Jie dan Ee Wei berjaya meraih tiga gelaran Jelajah Dunia BWF iaitu Masters Orleans 2023, Terbuka Taiwan 2023 dan Terbuka Korea 2024 selain menduduki ranking tertinggi mereka di kedudukan ketiga dunia.

Rexy turut menjadikan kisah beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sebagai contoh terbaik bagaimana perpisahan sementara mampu memperbaiki hubungan dan akhirnya kembali menjadi antara gandingan terbaik dunia.

Kini segala-galanya terpulang kepada Tang Jie dan Ee Wei untuk membuktikan kemampuan mereka sama ada berjaya bersama pasangan baharu atau kembali bergandingan selepas memperbaiki kelemahan masing-masing.

Satu perkara jelas, skuad beregu badminton negara bukan hanya soal bakat, tetapi lebih kepada mentaliti, pengorbanan dan kesediaan untuk bekerjasama dalam apa jua situasi dalam satu pasukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN