MARAN – Suspek amuk yang meninggal dunia dalam keadaan terikat selepas menikam dua beranak di Felda Jengka 2 di sini kelmarin dikatakan menunjukkan kelakuan aneh beberapa hari sebelum kejadian seolah-olah tahu akan hari kematiannya.
Ketua Kampung Felda Jengka 2, Ramli Mohamad berkata, suspek berusia 57 tahun itu juga sempat memberitahu orang kampung dia akan mati esok (semalam).
“Selama dua hari dia belanja kawan makan dan beritahu kawan lama yang sudah meninggal dunia ‘panggil’ dan kirim salam dari syurga,” katanya.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, suspek berada di bawah pengaruh dadah ketika menikam peniaga kedai makan, Salma Mustapha, 52, hingga parah.
Selain Salma, suspek turut menikam anak angkat wanita itu berusia 16 tahun yang cuba menyelamatkan mangsa yang menjerit meminta pertolongan.
Bagaimanapun lelaki itu maut selepas dipercayai dipukul sekumpulan individu yang tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki tersebut.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai dipetik sebagai berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai mengalami halusinasi disebabkan pengambilan dadah.
Dalam pada itu, adik Salma, Mohd. Norsalam, 33, yang masih trauma berkata, kakaknya cuba melarikan diri selepas melihat suspek bertindak agresif, namun dia dicederakan suspek.
“Tidak sangka suspek sanggup buat begitu terhadap kakak saya. Sebelum ini hubungan mereka sangat baik seperti adik-beradik,” katanya.














