BRIGHTON – Pengendali Aston Villa, Unai Emery percaya pemain pinjamannya, Marcus Rashford sudah kembali mendapatkan rentak dengan mempamerkan peningkatan dalam pelbagai aspek.
Rashford membuka akaun gol bersama Villa selepas meledak jaringan pembukaan ketika membantu pasukan itu mencatat kemenangan 3-0 ke atas Brighton pada aksi di Stadium Amex awal pagi semalam.
Pemain Manchester United itu meneruskan keinginan untuk mendapatkan gol selepas membantu pasukan itu mencatat kemenangan 3-0 ke atas Preston pada aksi suku akhir Piala FA dengan meledak dua gol.
“Apa yang utama adalah mengenai perasaannya. Dia kembali mendapatkan keyakinan untuk bermain dan fokus. Dia selesa dengan rakan sepasukan dan mula jelas serta memahami bagaimana cara kami bermain,” katanya.
Selain Rashford, dua lagi pemain baharu, Marco Asensio dan Donyell Malen turut menyumbang jaringan untuk membantu kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan Villa berjaya mencatat tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.
Biarpun Rashford berjaya membuktikan ketajamannya, Emery enggan mengesahkan sama ada pemain United itu akan dibeli secara tetap musim depan dan ia bergantung kejohanan Eropah yang bakal mereka layak sertai.
“Ia bukan masa yang sesuai untuk bercakap mengenai masa depan Rashford. Keputusan yang akan diambil nanti mungkin berbeza kerana bergantung kepada kejohanan Eropah yang mampu kami layak,” ujarnya. – AGENSI














