fbpx
Abah Ha­yat memutuskan untuk menghabiskan sisa hidupnya dengan mendalami ilmu agama di Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran Madinatul Ilmi, Kampung Kuala Rimau, Pendang. - SHAHIR NOORDIN

‘Kadangkala rasa baik di penjara daripada tekanan di luar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENDANG – Bekas banduan, Khairul Anuar Zakaria, 65, yang lebih dikenali sebagai Abah Ha­yat memutuskan untuk menghabiskan sisa hidupnya dengan mendalami ilmu agama di sebuah pusat pengajian al-Quran, di sini.

Dia yang kini menghuni Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran Madinatul Ilmi, Kampung Kuala Rimau, di sini turut menyambut Aidilfitri di pusat itu.

“Selepas menjalani hukuman penjara selama 23 tahun empat bulan di Penjara Pokok Sena sebelum dibebaskan pada 3 Oktober tahun lalu, saya tinggal bersama keluarga sebelum ‘berpindah’ ke sini sejak lebih dua bulan lalu.

“Ini merupakan Aidilfitri pertama saya selepas dibebaskan dari tirai besi, namun saya buat keputusan untuk beraya bersama keluarga besar di sini yang merupakan keluarga pengasas pusat pengajian ini,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Abah Hayat menjalani hukuman penjara atas kesalahan membunuh seorang lelaki di Taman Datuk Kumbar di Alor Setar, dekat sini pada 4 Jun 2001.

Katanya, keluarga sering me­ngunjunginya di pusat pengajian al-Quran berkenaan.

“Cuma sekarang ini pusat ini agak sunyi kerana semua pelajar tahfiz lelaki yang tinggal di asrama sudah pulang ke kampung masing-masing untuk menyambut hari raya,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, pe­ngasas yang juga merangkap mudir pusat itu, Datuk Rosli Omar yang mengajaknya untuk tinggal di pusat pengajian ­berkenaan.

“Dia panggil saya abang dan mengatakan dengan usia saya lebih baik tinggal di sini (dalami ilmu agama), inilah jalannya. Bila jejakkan kaki di sini, hati saya bagaikan sudah ‘terikat’” ujar bapa kepada 10 anak itu.

ABAH Hayat menjelaskan kehidupannya menjadi lebih tenang apabila dapat belajar ilmu agama diPusat Pengajian Tahfiz al-Quran Madinatul Ilmi, Kampung Kuala Rimau, Pendang.

Katanya, kehidupannya menjadi lebih tenang apabila dapat belajar ilmu agama, selain ber­khidmat di pusat pengajian tersebut dengan menyelia aspek kebersihan di situ.

Ketika ditanya perasaan menyambut Ramadan dan Aidilfitri di luar tirai besi, katanya, ia sesuatu perkara yang hebat dan sangat manis dalam hidupnya.

“Di dalam penjara, saya hidup terkurung dan jauh daripada ahli keluarga. Bila raya tiada sebarang sambutan, cuma sekali sekala saya terpilih untuk menunaikan solat Aidilfitri dan hadir jamuan.

“Meskipun tinggal berasingan, saya sentiasa hubungi ibu yang tinggal di Jitra bagi bertanyakan khabar,” katanya.

Menurutnya, kehidupan di luar selepas dibebaskan daripada hukuman penjara tidak mudah seperti yang disangka.

“Kadang-kadang saya rasa lebih baik (berada) dalam penjara apabila terpaksa hadapi tekanan. Saya tidak menolak ada yang tidak dapat menerima dan mengecam saya, namun ramai juga yang dapat menerima saya dengan baik.

“Di dalam penjara, ada pengisian agama dan alhamdulillah di pusat pengajian al-Quran ini, saya berpeluang tambah lagi ilmu yang bermanfaat, jadi setiap masa diisi dengan perkara yang baik,” jelasnya.

Tambahnya, dia terkesan apabila terdapat netizen mengecam dan mengherdiknya sehingga ada yang berkata lebih baik dia mati.

“Saya sudah menjalani hukuman atas kesalahan tersebut. Walau apa pun, sempena bulan mulia ini dan Aidilfitri, saya mohon maaf kepada semua atas salah silap dilakukan,” katanya.

Kehadiran Abah Hayat di Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran Madinatul Ilmi, Kampung Kuala Rimau, di sini sangat disenangi terutama dalam kalangan pelajar tahfiz di situ.

Sementara itu, Rosli berkata, pusat pengajian tahfiz itu beroperasi sejak dua tahun lalu dan ketika ini mempunyai seramai 25 pelajar tahfiz lelaki berusia antara 12 hingga 18 tahun.

“Mereka datang daripada keluarga susah serta anak yatim atau anak yatim piatu dengan tiada bayaran dikenakan,” ujarnya.

Selain itu, katanya, terdapat 20 penduduk kampung berhampiran yang datang mengaji al-Quran dan kuliah agama.

Tambahnya, pusat pengajian al-Quran itu dibangunkan menggunakan peruntukan sendiri daripada perniagaan dijalankan.

“Saya merancang untuk membina sebuah bangunan tambahan bagi menambah bilangan pelajar tahfiz di sini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN