CHEF selebriti popular, Chef Dr. Liza Zainol bersama keluarganya meraikan kejayaan meraih anugerah kedoktoran daripada European-American University dan anugerah Felo daripada The Oxford Centre For Leadership baru-baru ini.

Syawal pertama Chef Liza dengan gelaran Dr.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENINGGALKAN kerjaya sebagai seorang pendidik demi mengejar cita-cita dalam bidang kulinari bukanlah sesuatu yang mudah.

Namun, Chef Dr. Liza Zainol, 70, tekad dengan keputusannya itu meskipun telah menjadi pendidik selama lebih 26 tahun.

“Sebenarnya saya minat kedua-duanya iaitu bidang pendidikan dan kulinari, tetapi saya perlu pilih salah satu daripadanya.

“Saya melakukan solat sunat istikharah untuk meminta petunjuk dan akhirnya saya memilih untuk memberi tumpuan dalam bidang kulinari,” katanya yang dilahirkan di Merbok, Kedah kepada K-Wanita.

Keputusan yang diambil oleh Chef Dr. Liza ternyata tepat dan namanya terukir dalam dunia kulinari.

Dia juga menjadi chef selebriti Malaysia dan telah muncul dalam pelbagai program memasak di stesen televisyen tempatan.

Antara program memasak yang pernah menyaksikan kemunculannya termasuk Rantau Rasa Malaysia, Kongsi Rasa Istimewa Untukmu, Bakeri dan Pastri, Aroma Saji Nusantara dan banyak lagi.

Selain itu, dia juga meraih pelbagai anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa. Terbaharu, Disember lalu, wanita ini menerima anugerah kedoktoran dari European-American University berpangkalan di Perancis yang membawa gelaran doktor.

Mengulas tentang perjalanan kariernya dalam bidang kulinari, Chef Dr. Liza yang merupakan ibu kepada lima cahaya mata berkata, dia sebenarnya memang minat memasak sejak kecil. Kala itu, dia sering mengikuti kakaknya menghadiri kelas memasak tidak formal yang dianjurkan oleh pertubuhan wanita.

“Dari situlah timbul minat dalam bidang masakan, selain itu keluarga saya juga sering memasak terutamanya emak saya.

“Namun begitu, biarpun minat memasak ini telah ada tetapi saya tidak meneruskan pengajian yang lebih formal dalam bidang kulinari.

“Sebaliknya saya mengejar cita-cita untuk menjadi seorang guru bahasa Inggeris terlebih dahulu,” jelasnya.

Pada tahun 1990, dia begitu berminat dalam bidang kulinari dan mengambil keputusan untuk pergi ke Singapura dan belajar di Sekolah Kulinari Singapura.

Sejak itu, dia menanam minat untuk belajar dengan lebih mendalam bidang kulinari terutamanya bagi pembuatan kek dan pastri.

Dia juga mengambil cuti tanpa gaji dan pergi ke United Kingdom dan belajar di City of Bath College.

Pada tahun 1997, dia pergi ke Amerika Syarikat untuk belajar di Wilton School of Cake Decorating.

Selain itu, Chef Dr. Liza juga pergi ke Jakarta, Indonesia untuk belajar di salah sebuah sekolah memasak di sana.

Malah, dia turut mendalami ilmu di beberapa institusi memasak yang lain bagi meningkatkan kemahirannya.

“Jika dihitung, sebelum saya memilih untuk pencen dan meninggalkan kerjaya pendidikan pada usia 45 tahun hampir lima tahun saya mengambil cuti tanpa gaji semata-mata untuk mendalami bidang kulinari ini.

“Bukan itu sahaja, kos untuk mendalami bidang kulinari ini juga menggunakan wang saya sendiri dan tidak ditaja oleh mana-mana pihak dan jika dihitung secara kasar saya membelanjakan hampir RM1 juta untuk mendalami ilmu kulinari ini,” jelas Chef Dr. Liza.

Sebelum menamatkan perkhidmatan dalam bidang pendidikan, dia berhijrah ke Kuala Lumpur dan menjadi guru pendidikan khas. Dia perlu berhijrah ke ibu kota bagi membolehkan salah seorang anaknya yang memerlukan pendidikan khas menjalani terapi di Hospital Kuala Lumpur.

Apabila berhijrah ke Kuala Lumpur dia mendapati potensinya dalam bidang kulinarinya makin terserlah.

Dia sering mendapat undangan memasak dan dalam masa yang sama Chef Dr. Liza juga membuka kelas memasak.

Jadi sukar baginya untuk membahagikan masa untuk kedua-duanya.

Akhirnya dia memilih untuk pencen lebih awal dan fokus kepada Akademi Memasak Chef Liza yang ditubuhkannya pada tahun 2003.

“Apabila pencen saya diluluskan, saya memberi tumpuan untuk meneruskan karier saya dalam bidang kulinari.

“Selain membangunkan akademi memasak, saya juga menubuhkan sebuah syarikat bagi membolehkan saya mewujudkan rumah produksi dan saya menjadi penerbit untuk membekalkan program-program masakan,” ujarnya.

Keputusannya untuk melibatkan diri dalam bidang kulinari itu dilihat tepat dan pengorbanan Chef Dr. Liza yang tidak jemu menuntut ilmu terbalas apabila dia baru-baru ini menerima anugerah Felo daripada The Oxford Centre For Leadership dan juga kedoktoran dari European-American University.

Dalam pada itu, melalui bidang kulinari, Chef Dr. Liza juga berpeluang untuk pergi ke pelbagai negara terutamanya bersama Kementerian Pelancongan dan Kementerian Pembangunan Usahawan untuk memperkenalkan masakan Malaysia.

Selain itu, dia juga sering diundang oleh beberapa kementerian untuk mengendalikan kelas memasak.

“Saya baru habis program dengan Kementerian Perpaduan di mana saya menjelajah ke sembilan buah negeri untuk mengajar usahawan-usahawan memasak.

“Saya juga berazam selepas mendapat gelaran kedoktoran saya ingin berkongsi ilmu memasak dengan semua orang dan melatih mereka menjadi usahawan dalam bidang kulinari,” ujarnya.

Sementara itu, di dalam dunia kulinari Chef Dr. Liza juga telah mencipta empat Malaysian Book of Records (MBOR).

Rekod pertama yang diciptakannya adalah pada tahun 2006 apabila dia telah melakukan barbeku terpanjang di Malaysia dengan jarak sepanjang 1.3 kilometer.

Pada 2007 dia sekali lagi mencipta rekod dengan memasak tanpa henti selama 50 jam, manakala pada 2018, Chef Dr. Liza mencatat lagi sekali namanya dalam MBOR apabila melaksanakan program memasak rendang terbesar di Malaysia di mana dia memasak sebanyak 1,290 kilogram rendang.

Dia bukan hanya memecahkan rekod Malaysia, malah turut mencatatkan nama dalam World Guinness Record pada 2023.

“Untuk dianugerahkan rekod ini saya telah menganjurkan pertandingan memasak terbesar di dunia di mana seramai 713 peserta telah menyertai pertandingan ini di Kuala Lumpur. Peserta yang menyertai pertandingan ini adalah dari Malaysia dan juga luar negara dan mereka bertanding memasak untuk 100 kategori.

“Saya sangat berbangga kerana dapat mencipta rekod dunia ini,” jelasnya.

Nasi tomato juadah wajib dimasak Chef Dr. Liza pada 1 Syawal.

Menyentuh mengenai Syawal yang menjelang tiba, Chef Dr. Liza berkata, menu wajib yang disediakannya pada pagi 1 Syawal ialah nasi tomato. Juadah itu yang selalu disediakannya.

“Setiap pagi raya mesti ada nasi tomato dan menu ini telah menjadi satu tradisi raya untuk keluarga saya.

“Saya juga akan memasak ayam masak merah, kurma daging dan dalca untuk dimakan bersama nasi tomato,” katanya.

Berkongsi kisah Aidilfitri, Chef Dr. Liza berkata, ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri, dia lazimnya akan sibuk di dapur selama seminggu untuk menyediakan juadah-juadah bagi dijamu kepada tetamu yang hadir beraya.

Menurutnya, setiap tahun itulah rutin yang akan dilakukan dan dia gembira merai tetamu dengan pelbagai juadah.

“Sudah menjadi kebiasaan kepada saya begitu.

“Sebenarnya, bukan hanya pada hari raya, jika orang datang ke rumah, saya akan pastikan di atas meja makan akan penuh dengan hidangan makanan.

“Bukan itu sahaja, apabila saya pulang beraya di Kedah, ramai kawan akan minta saya masak, saya rasa gembira apabila hasil air tangan saya dirasai oleh mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN