BERBUKA puasa bersama keluarga dengan aneka juadah terhidang di meja merupakan memori indah yang tercipta di bulan Ramadan. Namun, bagi anak perantau, aktiviti itu tidak sering dilakukan kerana tuntutan kerja dan juga jarak yang memisahkan.
Membawa nuansa itu dalam konsep berbuka puasa, restoran Ruema Café and Event Space (Ruema) menampilkan konsep makanan berhidang khusus sempena bulan mulia ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nur Syadanar Zahari, terdapat dua Pakej Hidang Berbuka Puasa Ruema yang menampilkan hidangan masakan kampung terdiri lebih 15 menu hasil tangan Cef Raziq Rafice Hussni.
“Antara hidangan yang disediakan termasuk set sate ayam dan daging, daging salai masak lemak cili api, sotong goreng tepung, ikan siakap, masak tiga rasa, bubur pulut hitam dan banyak lagi.
“Pelanggan juga akan menjamu selera dalam nusansa bertemakan sitrus segar dengan elemen bunga, mengetengahkan tona kuning terang yang dipadankan dengan hijau semula jadi dan putih lembut bagi mencipta suasana yang elegan namun menyegarkan,” katanya ketika ditemui CitaRasa di Ruema, Kompleks Permaisuri Q, Bandar Seri Permaisuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, pakej berbuka puasa ini juga merupakan kolaborasi bersama produk Young Living sebagai kelainan dengan menggabungkan gastronomi dan kesejahteraan tubuh badan.
Kongsinya lagi, kerjasama ini ‘menghidupkan’ semula pengalaman berbuka puasa dengan menggabungkan manfaat minyak pati ke dalam hidangan yang lazat, berkualiti dan sihat.
“Ruema meningkatkan pengalaman kulinari dengan menggabungkan minyak pati Young Living ke dalam beberapa menu khas Ramadan, memastikan pelanggan dapat menikmati rasa dan manfaat kesihatan serentak,” katanya.
Kerjasama eksklusif Ramadan ini berlangsung dari 1 Mac hingga 28 Mac ini. Selain itu, untuk pertama kalinya, Ruema bakal membuka ‘gerai’ sulungnya di Bazar Ramadan Bandar Sri Permaisuri berdepan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang menampilkan menu utama berasaskan daging wagyu seperti nasi goreng wagyu dan maggi goreng wagyu.














