fbpx
Gembira dengan hasil keseluruhan tangkapan yang dibahagi bersama semua pemancing untuk dijadikan lauk menjelang Ramadan.

K2

Pancing santai di Penyabong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Hampir setiap minggu, saya akan turun memancing di Penyabong sama ada membawa pelancong atau memancing secara suka-suka. Baru-baru ini, di kala angin kencang menerjah Kepulauan Penyabong, banyak trip terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan.

Namun begitu, rugi sekiranya pulang semula dengan tangan kosong. Oleh itu, saya mengikut trip suka-suka bersama Tekong Naim yang membawa bot Merah-Merah Delima (MMD). Dalam kes ini, pasti ramai tidak puas hati, mengapa trip dibatalkan sedangkan ada pula yang boleh keluar memancing?

Ini disebabkan kebanyakan pemancing rekreasi tidak biasa turun ke laut dan pasti mengundang rasa tidak selesa apabila memancing dalam keadaan laut bergelora. Jika pergi memancing sekadar untuk ‘mabuk laut’ adalah lebih elok trip dibatalkan atau ditunda kepada tarikh yang lebih sesuai bagi mendapatkan pengalaman meman­cing yang menyeronokkan.

Bagi kami yang sudah biasa turun ke laut, tidak ada masalah meng­hadapi ombak dan badai, lagi pula menaiki bot Tekong Naim yang luas serta berkabin dengan dikuasakan dua buah enjin Mercury 150 kuasa kuda. Lagi seronok apabila tugas saya hanya memancing tanpa perlu mengendalikan bot seperti kebiasaannya membawa pelancong.

Cari lauk
Sasaran sesi pancingan bersama tekong dan awak-awak bot MMD tidak lain dan tidak bukan hanya sekadar mencari lauk. Oleh itu, kami tidak menyasarkan sangat ikan-ikan bersaiz besar seperti ikan ebek, gerong belang dan tenggiri.

Kami hanya target ikan sagai yang mudah diperolehi di kawasan karang tinggi berhampiran pulau.

Setibanya di lokasi, saya, Najib dan Iwan menggunakan teknik light jigging, manakala Tekong Naim dan Ustaz Nazir menggunakan teknik apollo.

Ketika kami tiba, air sedang bergerak surut dan seperti dijangkakan, agak sukar untuk memperolehi ikan sagai pada waktu ini. Telahan kami ternyata benar kerana hanya dua ekor dapat didaratkan oleh Najib. Matahari pula semakin meninggi dan secara langsung mengurangkan potensi menjebaknya.

Tekong mengambil keputusan untuk memancing di kawasan tukun tiruan. Sewaktu bot berhanyut, jig 60g yang saya mainkan mendapat sergapan daripada ikan dasar dan seekor ikan tambak assoh berjaya didaratkan. Sejurus selepas itu, gi­liran Iwan pula memperolehi seekor ikan kerapu bara juga dengan jig.

Tidak banyak hasil diperoleh dari lokasi ini, dan tekong mengajak untuk bermain apollo di unjam berhampiran memandangkan matahari sudah tegak di atas kepala.

Apollo kertas putih saiz 12 me­rupakan senjata yang perlu tersedia apabila memancing di Penyabong kerana pelbagai jenis ikan boleh diperdaya menggunakan apollo jenis ini, antaranya ikan selar kuning, cencaru dan remong.

Apollo perlu dimainkan dengan pelbagai cara, jika menyasarkan ikan karang seperti ikan remong dan tambak, apollo perlu dilontar jauh dari bot dan diturunkan sehingga ke dasar. Sejurus selepas sampai di dasar, joran perlu diturunkan dengan serta-merta supaya tali pancing melengkung mengikut arus bagi memastikan semua mata apollo rapat ke dasar. Ulangi langkah ini beberapa kali sehingga mendapat sergapan.

Serangan kaci
Di lokasi terakhir, kami meman­cing dasar. Berbeza dengan kaedah yang biasa digunakan, kami hanya menggunakan apollo. Hanya bebe­rapa mata kail sahaja dicangkuk isi udang kopek dan selebihnya dibiarkan kosong. Tidak lama setelah umpan diturunkan, kami diserang bertalu-talu oleh ikan kaci sehingga beberapa kali terjadinya double strike.

Cara ikan kaci memakan umpan mudah dijangka kerana ikan ini akan makan umpan secara perlahan dan tidak terus melarikannya serta -merta. Jika terasa seperti umpan disentuh sesuatu, pastikan joran tidak digerakkan.

Hanya ketika joran telah melentur barulah sentapan perlu dilakukan. Ikan kaci juga akan melawan sehingga ke permukaan air, jadi set pancingan ringan amat sesuai digunakan. Selain tidak penat untuk dipegang, anda dapat juga merasa perlawanan hingga ke tahap optimum.

Memandangkan mata kail apollo tidak kasar, perlawanan perlu lebih berhati-hati bagi mengelakkan tali perambut putus atau mata kail terkangkang. Selain ikan kaci, ikan lain seperti cermin dan barat juga diperolehi menggunakan teknik ini.

Yu kemejan bonus
Tanda tanya pertarungan lama antara Najib dan ikan yang meragut umpannya akhirnya terjawab selepas munculnya tangkapan yang paling tidak dijangka iaitu yu kemejan. Tidak pelik mendapat ikan ini kerana kepulauan

Penyabong merupakan habitatnya. Cuma agak pelik apabila mendapatkannya pada siang hari dengan berumpankan udang di kawasan yang jauh dari pulau.

Kebiasaannya, ikan ini hanya aktif pada waktu malam dan diperolehi menggunakan umpan hirisan sotong. Nampaknya kami mendapat tangkapan bonus pada trip kali ini.

Kami jigging pula sebelum bergerak pulang kerana menurut tekong, kawasan ini juga mempunyai ikan pelagik seperti cermin dan sagai. Jig dilontar jauh dari bot dan dibiarkan tenggelam sehingga jejak ke dasar. Kemudian, jig dikarau laju, berhenti, diselang-seli dengan lambungan sebelum diulang kaedah sama.

Semasa jig melayang sebentar sejurus selepas lambungan dilakukan, saya memperoleh sambaran daripada pemangsa. Seterusnya, kami berjaya mendaratkan seekor ikan cermin menjadikan ia tangkapan terakhir pada hari tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN