fbpx
SYARIKAT swasta dan agensi kerajaan antara pemilik ladang yang menggunakan khidmat dron ditawarkan oleh Aerodyne.

Evolusi teknologi dron dalam pertanian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

EVOLUSI teknologi dalam penggunaan mesin kini dilihat sebagai salah satu solusi bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan jumlah penglibatan tenaga kerja.

Objektif itu yang membuatkan Aerodyne Group (Aerodyne) optimis bahawa penggunaan dron mampu mengubah landskap industri pertanian supaya lebih dinamik seiring dengan perkembangan dunia pendigitalan.

Organisasi yang aktif menyediakan perkhidmatan dron sejak 2020 itu bukan sahaja tertumpu di Malaysia, malah turut meluaskan pengaruhnya ke luar negara seperti Indonesia, India, negara Asia Barat, Jepun dan Amerika Syarikat.

Melihat peluang yang terbentang luas dalam sektor pertanian, Aerodyne bukan sahaja menggunakan dron untuk membuat penyiraman baja dan racun serangga, malah kecanggihan peranti itu mampu membantu mendapatkan data secara sistematik.

Menurut Ketua Pegawai Produk Agrimor Aerodyne, Razwan Zakaria, dron bukan saja alat yang digunakan untuk kerja-kerja di ladang, bahkan ia mampu mendapatkan maklumat tanaman secara terperinci dengan bantuan kecerdasan buatan (AI).

“Dengan menggunakan multi spectrum sensor, dron mampu merekod maklumat tentang tahap kesihatan pokok, akar, kelembapan, masalah serangan dan tahap stres pokok.

“Dron ini juga membolehkan kami untuk mengetahui klorofil tanaman.

“Kami juga dapat memantau tahap kesihatan pokok di ladang dan data itu akan dihantar kepada pelanggan untuk dianalisis.

“Ini sekali gus dapat membantu mengelak keadaan pokok menjadi semakin buruk dan mati,” katanya kepada K-Tekno.

Untuk makluman, Aerodyne serius menggunakan dron untuk membantu urusan pembajaan dan penyiraman racun pada tanaman padi sejak Oktober 2020, sebelum berkembang kepada ladang nanas, getah, dusun buah-buahan dan sawit.

“Terdapat dua jenis semburan yang boleh dilakukan oleh dron iaitu secara rata atau titik ke titik.

“Semburan secara rata dibuat dengan menyeluruh dan berbeza dengan titik ke titik yang perlu dibuat satu persatu.

“Dron akan pergi ke setiap pokok untuk membuat semburan.

PROSES penyiraman racun perosak dan baja tanaman menggunakan dron mula popular di Malaysia sejak tahun 2020.

“Pada peringkat ini, kami perlu tahu dron apa yang perlu digunakan agar bersesuaian dengan jenis tanaman supaya kipas dron tidak merosakkan pokok,” katanya.

Razwan turut memberitahu, proses semburan titik ke titik sering dibuat pada pokok jenis pramatang yang rata-ratanya memiliki saiz kecil dan berpotensi menjadi sasaran utama serangga perosak.

“Pokok pada tahap pramatang memerlukan pemantauan rapi kerana mudah mendapat serangan perosak.

“Bebanan yang dibawa dron juga diambil kira seperti 20 liter, 30 liter atau 50 liter cecair semburan (baja atau racun perosak).

“Semakin berat, semakin besar dan kuat kipas dron yang digunakan.

“Jika kipas terlalu kuat, ia akan merosakkan pokok dan ia boleh tercabut dari tanah. Jadi, dron bersaiz sederhana lebih sesuai digunakan.

“Siraman racun pada pokok jenis ini juga perlu dibuat dua minggu sekali. Ia memerlukan individu berpengetahuan tinggi yang peka terhadap persekitaran agar tidak merosakkan tanaman,” katanya.

Ujarnya, fokus Aerodyne pada masa kini lebih tertumpu kepada tanaman sawit di beberapa ladang milik syarikat swasta dan agensi kerajaan.

Penggunaan dron itu bukan saja melibatkan beberapa kawasan sawit di Malaysia, malah turut dilakukan ke atas ladang sawit seluas 500,000 hektar di Kalimantan Selatan, Indonesia.

Pada masa sama, Razwan menegaskan kemampuan mengawal alat kawalan dron pertanian penting kerana kawasan daratan mempunyai pelbagai halangan seperti kenderaan, tiang lampu, manusia, bangunan dan menara telekomunikasi.

“Mereka yang mengendalikan dron ini sama seperti juruterbang dan perlu peka dengan segala kemungkinan. Cuma membezakan adalah jenis ancaman.

“Di daratan ini terdapat bermacam hal yang boleh mengganggu penerbangan dron.

“Dron yang membawa bebanan cecair semburan juga perlu sentiasa diseimbangkan agar bebanan tidak tumpah, terbalik atau kipas dron merosakkan tanaman.

“Disebabkan itu, penting untuk pengendali atau pilot drone mempunyai lesen penerbangan dron.

“Kami juga menyediakan perkhidmatan latihan dan pengendalian dron. Setiap pilot drone kami perlu menjalani tempoh latihan selama dua minggu sebelum bersedia untuk membuat penerbangan,” katanya.

Selain itu, keadaan jangka hayat dan kuasa bateri turut mempengaruhi kemampuan dron. Ketahanan bateri menjadi cabaran untuk dron menyempurnakan semburan pada tanaman.

Ujarnya, bateri dron kebiasaan mempunyai ketahanan terbang selama 10 minit untuk satu bateri.

Oleh itu, sebanyak enam bateri diperlukan untuk menyempurnakan satu jam sesi semburan.

“Selalunya kami memerlukan tempoh selama lima jam untuk menyelesaikan setiap sesi semburan.

“Dalam tempoh itu, mustahil untuk kita menggunakan 30 unit bateri semata-mata untuk lima jam semburan.

“Sebelum berpindah kepada hibrid, pengendali sering membawa 10 unit bateri dan alat pengecas yang memerlukan bahan api untuk menghidupkannya.

“Bagi mengatasi masalah bateri, kami telah beralih kepada dron hibrid yang menggunakan patrol.

“Dron ini mampu bertahan selama 30 minit dan baterinya tidak perlu dicas.

“Peralihan ini berjaya meningkatkan produktiviti sebanyak 1.5 kali ganda.

“Sebelum ini, dron bateri mampu melakukan lima hingga enam hektar untuk satu-satu masa berbanding kini, kita boleh melaksanakan sehingga 13 atau 14 hektar jika menggunakan dron hibrid.

“Jangka hayat dron rata-ratanya mampu bertahan selama dua tahun dan harganya boleh mencecah RM50,000 hingga RM60,000 seunit.

“Jangka hayat singkat ini disebabkan dron terdedah kepada tekanan kerja dan kuasa elektrik yang secara tidak langsung memberi kesan kepada bahagian dalaman dron,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN