fbpx
ROBOT humanoid mempunyai kemampuan berkomunikasi dengan manusia.

Penggunaan robot di China sudah atasi AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CHINA sekali lagi menjadi tumpuan dalam industri robotik menerusi pengenalan robot humanoid yang melakukan rondaan bersama pegawai polis manusia di Shenzhen.

Dalam satu klip video yang tular baru-baru ini, sebuah robot humanoid berwarna perak yang memakai jaket polis kuning neon telah dikerah meronda bersama polis manusia.

Robot itu juga mempunyai keupayaan untuk berinteraksi dengan orang ramai di jalanan. Robot tersebut diberi nama PM01, di mana setiap satu bersaiz seperti kanak-kanak sekolah rendah dengan ketinggian 1.38 meter (m) dan berat 40 kilogram (kg).

Berdasarkan laporan daripada portal 8days.sg, setiap robot dianggarkan berharga sekitar RM54,107. Robot itu adalah cetusan idea syarikat permulaan yang berpangkalan di Shenzhen, Engine AI.

“PM01 bukan sahaja menarik perhatian ramai kerana penampilannya seperti watak adiwira Iron Man, malah pergerakannya juga sangat mirip dengan manusia.

“Ia juga digembar-gemburkan sebagai salah satu robot humanoid yang paling tangkas di pasaran. Ia mampu bergerak dan berjalan lancar, selain boleh melakukan flip hadapan,” tulis laporan itu.

Tambahnya, robot tersebut juga dilengkapi dengan sistem teknologi yang membolehkan ia mengukur jarak dan mengemudi persekitarannya.

Namun begitu, operasi PM01 dilaporkan hanya terhad dalam pasukan polis Shenzhen. Tujuan utamanya bukan untuk menggantikan pekerjaan polis, tetapi membantu pihak berkuasa melakukan rondaan, sekali gus mengurangkan beban kerja mereka.

China mempunyai sejarah inovasi robotik yang berkembang pesat dengan tumpuan utama pada automasi industri, kecerdasan buatan (AI) dan robot humanoid.

Menurut Presiden Yayasan Teknologi Maklumat dan Inovasi (ITIF) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Robert D. Atkinson, China bukan negara pelopor kepada inovasi robotik.

Namun katanya, pengeluaran dan penggunaan robot domestiknya berkembang pesat.

“Menurut data daripada Persekutuan Robotik Antarabangsa, China merupakan pengguna robot industri terbesar di dunia.

CHINA telah membangunkan bandar hub robot di Dongguan.

“Pada 2021, negara itu telah mengatasi AS sebanyak 18 peratus dalam penggunaan robot industri

“Pada tahun sama, China mempunyai 12 kali ganda kadar penggunaan robot dalam industri pembuatan berbanding AS,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Evolusi robotik di China bermula sejak era 1980-an, di mana negara itu mula memperkenalkan robot dalam sektor perindustrian terutamanya dalam industri pembuatan seperti pemasangan kenderaan dan elektronik.

Pembangunan robotik di negara Tembok Besar itu dilakukan sejak tahun 2000-an selepas pemerintah China melancarkan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan inovasi robot.

Langkah tersebut bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia.

Malah, syarikat seperti SIASUN Robot & Automation Co.Ltd. mula membangunkan robot industri tempatan.

Dengan perkembangan pesat dalam kecerdasan buatan (AI), China mula melonjakkan lagi pembangunan robot humanoid dan sosial yang mampu berinteraksi dengan manusia sejak tahun 2010.

Pada tahun 2016, Jia Jia iaitu robot humanoid pertama China telah diperkenalkan oleh Universiti Sains dan Teknologi China.

Sementara itu, syarikat seperti UBTech Robotics dan CloudMinds pula mengembangkan robot AI yang boleh digunakan dalam sektor pendidikan, keselamatan dan penjagaan kesihatan.

Bermula tahun 2020, China mula menggunakan robot dalam bidang penguatkuasaan undang-undang, termasuk robot polis autonomi yang mampu melakukan rondaan, mengenal pasti suspek melalui pengecaman wajah dan memberikan amaran keselamatan.

Sebelum PM01 menjadi tular di media sosial baru-baru ini, inovasi seperti Rotunbot RT-G iaitu robot berbentuk bola yang mampu mengejar penjenayah dilihat mampu meningkatkan keselamatan awam.

Robot juga digunakan dalam hospital, lapangan terbang dan pusat beli-belah untuk menyediakan maklumat serta membantu pelanggan.

Robot penghantaran seperti yang dibangunkan oleh syarikat Meituan dan JD.com semakin banyak digunakan dalam sektor logistik serta e-dagang.

Manakala robot anjing AI juga diperkenalkan untuk tujuan keselamatan dan pengawasan.

Kongsi Atkinson lagi, pemerintah China juga telah menubuhkan hab inovasi serantau dan institut penyelidikan yang memberi tumpuan kepada robotik.

Pemerintah China juga memberi insentif kepada pengeluar yang berusaha melakukan penyelidikan untuk pengeluaran teknologi baharu.

“China telah meniru sistem pembuatan AS dengan menubuhkan beberapa institut penyelidikan awam-swasta termasuk satu dalam bidang robotik.

“Di China, aktiviti institut, syarikat, penyelidik dan pembangun ditempatkan bersama di satu tempat iaitu di bandar robot Dongguan.

“Di situ terdapat institut penyelidikan robotik yang disokong oleh pemerintah kerajaan dan sejumlah syarikat robotik China terletak di sekelilingnya,” ujarnya.

Katanya lagi, China juga telah menubuhkan kluster robotik dan pembuatan pintar Shenyang sebagai langkah menghapuskan kebergantungan negara itu kepada robot import.

Seperti yang dilakukan dalam banyak industri dan teknologi lain, China menggunakan kelebihan pasaran domestiknya terutamanya dalam perusahaan milik kerajaan untuk menguji penggunaan robot.

Langkah itu bagi memaksa lebih banyak penggunaan robot daripada pengeluar domestik dari semasa ke semasa.

Malah, terdapat desakan yang meluas untuk menyetempatkan pengeluaran robot di China untuk menjamin ekonomi negara itu serta mengelak kejutan luaran dan persaingan geopolitik dengan AS.

“China juga mempunyai kelebihan lain iaitu media, ahli akademik dan pegawai kerajaan tidak sentiasa merungut tentang robot yang mengambil alih pekerjaan manusia seperti di AS.

“Negara itu terus memimpin dalam inovasi robotik dengan pelbagai aplikasi daripada sektor industri, perkhidmatan, sehingga penguatkuasaan undang-undang,” kongsinya.

Dengan sokongan pemerintah dan pelaburan besar dalam AI serta automasi, China dijangka terus mempercepatkan perkembangan teknologi robot dalam dekad akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN