BULAN Ramadan menjadi titik tolak kepada ramai orang untuk berubah menjadi lebih baik, membersihkan diri, bermuhasabah, meningkat ibadah dan pelbagai amalan lain dalam usaha menjadi hamba-Nya yang bertakwa.
Oleh itu, tidak hairanlah kita melihat orang terdekat, pempengaruh dan selebriti berlumba-lumba membuat kebaikan di bulan puasa untuk mengejar pahala yang berlipat kali ganda.
Di media sosial, kita lihat ramai yang berkongsi kebaikan dengan bersedekah dan melakukan ibadah di masjid. Lebih menarik, mereka yang bukan beragama Islam juga tidak melepaskan peluang berpuasa dan menganjurkan majlis berbuka puasa.
Sebagai contoh, bintang Tamil terkenal, Thalapathy Vijay mengadakan majlis iftar besar-besaran di Chennai, India bagi meraikan Ramadan bersama masyarakat setempat.
Vijay atau nama sebenarnya Joseph Vijay Chandrasekhar, 51, seorang penganut Kristian dikatakan berpuasa penuh di bulan Ramadan.
Selain itu, kita dapat melihat golongan mualaf aktif berkongsi kehidupan baharu mereka berpuasa dan melakukan pelbagai ibadah lain di bulan suci ini.
Namun, segala kebaikan yang ditunjukkan itu tidak lepas daripada prasangka buruk segelintir orang dengan melabel mereka sebagai penunggang agama dan cuba meraih perhatian untuk kepentingan diri sendiri.
Ada juga yang cuba mengorek kisah silam dan menyebarkan aib meskipun mereka sudah berubah.
Dengan kepantasan internet, sekelip mata aib tersebar, daripada orang tidak tahu, kini ia menjadi bualan ramai bahkan dijadikan bahan lawak.
Sepatutnya kita sebagai orang Islam menyokong semua individu yang mahu berubah ke arah lebih baik.
Hakikatnya, kebaikan yang ditunjukkan mereka ini memberi pengaruh yang positif dan dapat menggerakkan hati lebih ramai orang untuk bersama-sama membuat kebaikan terutamanya dalam bulan Ramadan yang menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda.
Dibimbangi juga prasangka buruk dan tangan-tangan jahat yang meninggalkan komen negatif di media sosial ini akan melunturkan semangat mereka yang mahu berubah dan berbuat kebaikan.
Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus dalam perkongsian di TikTok berkata, Islam mengajar kita supaya bersangka baik kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan kamu itu menyebabkan kamu berdosa di akhirat nanti.
“Oleh itu, bila kita tak tahu, maka kata yang baik-baik dulu.
“Jika kita suka bersangka buruk, latih diri untuk bersangka baik,” katanya.
Sementara itu, pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar berkata, orang ramai perlu berhati-hati apabila berkongsi tentang aib orang lain kerana keburukan itu akan kembali kepada kita kelak.
“Kita kongsi benda aib orang, menjatuhkan maruah dia, 1,000 orang tengok. Maka 1,000 aib sedang menanti di hadapan pintu rumah tangga kamu nanti yang akan dibongkar oleh Allah.
“Apa yang kamu buat kepada orang, kamu akan dapat balik, tak lari seinci pun,” katanya menerusi perkongsian ceramah di media sosial.
Tambahnya, begitu juga jika 10 kali kita menggembirakan orang, Allah akan membayar balik 10 kali tanpa mengira sama ada individu tersebut beragama Islam ataupun bukan Islam.
“Yang Islam dapat, yang tak Islam juga dapat,” katanya.















