SUNGAI PETANI – Persaingan antara peniaga, kenaikan kos bahan mentah serta kuasa beli pengguna yang semakin berkurangan menyebabkan rata-rata peniaga hanya mampu meraih keuntungan kecil dengan berniaga di bazar Ramadan.
Menurut mereka, keuntungan bersih yang diraih adalah sekitar RM200 hingga RM400 sehari, iaitu berkurangan sekali ganda berbanding keuntungan tahun-tahun sebelumnya.
Seorang peniaga nasi ayam dan nasi tomato, Siti Munirah berkata, dia menggunakan 30 ekor ayam sehari untuk 30 kilogram (kg) nasi yang dijualnya di Bazar Ramadan Taman Ria Jaya di sini setiap hari.
“Memandangkan saya hanya menjual satu bungkus nasi pada harga RM5 seperti tahun lalu, jumlah jualan harian saya adalah sekitar RM2,000.
“Selepas ditolak kos bahan mentah iaitu separuh dari jualan selain membayar gaji enam pekerja, saya hanya mampu memperoleh keuntungan bersih sekitar RM300 sehari,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.
Siti berkata, dia tetap bersyukur dengan jumlah keuntungan itu kerana telah berkongsi rezeki dengan enam pekerjanya.
Seorang peniaga nasi berlauk dikenali Abang Haji berkata, sejak menjadi peniaga bazar Ramadan lebih 10 tahun lalu, dia tidak pernah mengalami kerugian, sebaliknya tetap memperoleh keuntungan walaupun sedikit.
“Semua bahan mentah termasuk ayam, ikan, daging dan sayur-sayuran mahal. Apa yang saya boleh buat adalah mengecilkan saiznya bagi membolehkan pelanggan menikmatinya pada harga rendah.
“Setiap ketul ayam sama ada gulai atau masak merah dijual pada harga RM6 ke RM7, begitu juga pelbagai jenis ikan yang dijual di bawah harga RM8 seketul bagi memberi peluang pelanggan membelinya,” katanya.
Menurut Abang Haji, modal harian yang dikeluarkan kira-kira RM1,000 setiap hari untuk membeli bahan mentah dan jualan kasarnya sekitar RM2,000 sehari.
“Selepas ditolak modal dan upah tiga pekerja, saya dapat RM400 sehari dan ini cukup memadai buat saya,” katanya.
Seorang lagi peniaga lauk dikenali sebagai Kak Sal mengakui, kenaikan bahan mentah mengurangkan keuntungan yang diperoleh sejak berniaga di Bazar Ramadan di Taman Ria di sini lebih seminggu lalu.
“Saya terpaksa jual murah dalam usaha menarik lebih ramai pelanggan datang beli. Untung itu ada, tetapi tak banyak. Sehari dapatlah RM200,” katanya.
Di Klang, Selangor, para pengunjung bazar Ramadan dilihat lebih berjimat dalam membuat pembelian juadah untuk berbuka puasa.
Seorang peniaga Bazar Ramadan di Kampung Sungai Udang di sini, Faiz Ahmad, 37, mengakui jualan pada tahun ini agak mencabar berbanding tahun sebelumnya.
“Jualan harian ayam golek saya sekarang hanya antara 120 hingga 150 ekor tidak seperti tahun sebelum ini jualan antara 200 hingga 300 ekor.
Katanya, jumlah pengunjung sebenarnya masih ramai, tetapi kebanyakan mereka hanya datang untuk ‘cuci mata’.
















