fbpx
KEADAAN terkini Umi (kanan) yang sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital akibat diserang strok selepas kehilangan Adik Amir.

‘Umi kena strok sebab rindu sangat Adik Amir’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tiada apa yang dapat menggantikan kasih sayang seorang ibu terhadap anak angkatnya, lebih-lebih lagi apabila kanak-kanak tersebut melalui kematian penuh tragis akibat menjadi mangsa pende­raan ibu serta bapa tiri di Taman Krubong Jaya, Melaka, pada 29 Januari 2021.

Allahyarham Adik Amir atau nama sebenarnya Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek, 7, dijaga ibu angkat, Norlida Abu Hassan, 52, sejak kanak-kanak itu berusia dua bulan sebelum diserahkan kembali kepada ibu kandungnya pada Oktober 2020.

Walaupun Norlida mengakui reda dengan kehilangan Adik Amir, namun sejak tragedi itu dia yang mesra dengan panggilan Umi terus menanggung rindu mendalam sehingga menjejaskan kesihatan.

Anak ketiga Norlida, Tuhfah Nazira Md. Tarmidi, 26, berkata, ibunya diserang minor stroke selepas sembilan bulan Adik Amir meninggal dunia menyebabkan dia terpaksa dimasukkan ke hospital beberapa kali.

“Umi terlalu banyak berfikir tentang Adik Amir selain emo­sinya sangat sensitif terhadap semua perkara yang melibatkan Allahyarham.

“Kami rasa Umi jatuh sakit sebab terlalu banyak berfikir tentang Adik Amir. Sepanjang ketiadaan Adik Amir ini memang dia berbeza sangat, sebelum ini nampak kuat sebab itu kami tak jangka perubahannya sebegini.

“Sampai sekarang kami tidak boleh sebut nama Amir dan kalau tersebut, terus Umi menangis hiba susah hendak berhenti.

“Makanan kegemaran Amir pun dia tidak boleh lihat, kalau ternampak Umi terus menangis sambil cakap ‘Amir suka makan itu…’,” kongsinya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Akibat sudah beberapa kali diserang strok ia memberi kesan terhadap ingatan wanita itu.

“Umi macam ‘ingat-ingat lupa’, emosinya tidak stabil dan bercakap tentang perkara yang tidak diketahui. Walaupun doktor ada malumkan yang Umi mungkin didiagnosis dimensia, Amir tetap tidak pernah hilang dalam ingatannya,” ujarnya.

Pada 31 Januari 2021, Kosmo! melaporkan, Amir ditemui lemas dalam tong air di dalam rumah kira-kira pukul 4 petang pada 29 Januari 2021 dengan kesan kecederaan.

Kematian mangsa dilaporkan oleh bapa tirinya yang mendakwa kanak-kanak itu meninggal dunia akibat lemas di dalam tong air setinggi 0.6 meter.

Polis menahan sepasang suami isteri, iaitu ibu dan bapa tiri Amir untuk membantu siasatan.

Susulan itu, kedua-duanya telah didakwa atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Melaka.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu secara bersama-sama didakwa telah membunuh Zubaidi Amir Qusyairi yang ketika itu berusia tujuh tahun.

Mengulas lanjut, Tuhfah Nazira berkata, selagi kes perbicaraan tersebut tidak selesai, selagi itulah mereka sekeluarga akan tetap menunggu keputusan kes sama ada nasib Adik Amir mendapat pembelaan sewajar­nya.

“Kami tidak pernah dan memang tidak akan dapat melupakan Adik Amir yang hadir dalam hidup Umi serta keluarga kami.

“Sebab itu tahun ini kami me­rancang untuk mendapatkan ­khidmat peguam mungkin sebagai pemerhati kes tersebut,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN