fbpx
Masjid hopping dengan tren menjadi salah satu gaya hidup dipraktikkan warga kota untuk berbuka puasa serta menunaikan solat tarawih.

Buru masjid dekat LRT untuk iftar, tarawih jadi trend warga kota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEDUDUKAN rumah yang agak jauh dari pejabat menjadikan Siti Fakhira Norazhar, 25, memilih untuk berbuka puasa dan bertarawih di masjid-masjid berdekatan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan kereta api Transit Aliran Massa (MRT), sepanjang bulan Ramadan.

Baginya, aktiviti tersebut suatu kelaziman bagi individu sepertinya yang menggunakan pengangkutan awam untuk bergerak ke mana-mana dan tidak mahu terkejar-kejar untuk pulang ke rumah pada waktu puncak.

Namun, dia tidak menyangka apabila penggunaan LRT dan MRT untuk berbuka puasa serta bertarawih di masjid itu turut menjadi trend popular bagi warga ibu kota, dikenali sebagai masjid hopping.

Trend masjid hopping merujuk kepada perkongsian video oleh pengguna media sosial khususnya aplikasi TikTok tentang penjelajahan ke satu demi satu masjid di ibu kota yang berhampiran dengan stesen LRT dan MRT.

Perkongsian tersebut dilihat sebagai sesuatu yang bermanfaat dan cukup memudahkan pengguna tren di negara ini untuk mencari lokasi iftar, menunaikan solat maghrib sekali gus bertarawih bersama rakan-rakan dan keluarga.

Trend masjid hopping merujuk kepada perkongsian video oleh pengguna media sosial khususnya aplikasi TikTok tentang penjelajahan ke satu demi satu masjid di ibu kota yang berhampiran dengan stesen LRT dan MRT.

Berkongsi dengan CitaRasa, Siti berkata, bagi Ramadan tahun ini, dia sudah mengunjungi tujuh buah masjid berbeza di sekitar ibu kota.

“Setakat ini, saya sudah mengunjungi tujuh buah masjid berdekatan stesen LRT dan MRT, antaranya Masjid Ar-Rahah yang berdekatan dengan stesen LRT Kerinchi, Masjid TNB berdekatan stesen LRT Abdullah Hukum dan juga Masjid Negara yang berdekatan dengan LRT Pasar Seni.

“Memandangkan Ramadan masih berbaki sekitar dua minggu lagi, saya bercadang untuk pergi ke beberapa buah masjid lagi bagi aktiviti iftar dan menunaikan solat tarawih,” katanya.

Siti menambah, ketika ini, Masjid TNB dan juga Masjid Al-Sultan Abdullah atau Masjid Merdeka 118 merupakan masjid paling popular dalam kalangan masjid hoppers memandangkan kedua-dua masjid ini cukup mudah diakses melalui tren.

Mengulas tentang trend tersebut, Siti berkata, mengunjungi masjid dengan tren sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu, khususnya dalam kalangan pengguna pengangkutan awam itu.

Namun, ia baru-baru ini dipopularkan oleh generasi muda atau Gen Z yang lebih mahir dalam menyampaikan maklumat dengan kaedah lebih menarik di media sosial.

“Sebenarnya trend ini sudah lama orang buat, namun mulai popular sejak kebelakangan ini selepas semakin ramai yang turut join the trend dan menyampaikan info dengan cara yang lebih menarik.

“Malah, ramai yang suka menonton perkongsian menarik sebegitu, biarpun mereka bukan pengguna tren atau tinggal jauh daripada senarai stesen tren yang dikongsi. Mungkin penonton rasa seronok apabila melihat suasana bertarawih yang meriah di masjid yang mudah diakses menggunakan tren,” katanya.

SITI FAKHIRA

Tinjauan di media sosial mendapati, sejumlah netizen berkongsi mengenai minat gaya hidup masjid hopping dengan tren yang dipraktikkan mereka.

Seorang netizen dengan akaun Miszlily misalnya berkongsi keterujaan: Masjid hopping berdekatan LRT. Hari ini nak pergi mana pula? Siapa jawab tepat, saya belanja souvenir.

Bagi Mahirah Mohd., 27, pula, kunjungannya ke masjid untuk berbuka puasa dan bertarawih di lokasi berhampiran stesen tren bermula sejak tahun lalu.

“Tahun lepas merupakan tahun pertama saya berhijrah ke Kuala Lumpur dari kampung halaman saya iaitu Kuala Terengganu. Saya akui, selepas pulang dari pejabat, jiwa saya terasa sunyi dan oleh sebab itu saya memanfaatkan waktu itu untuk mencari masjid untuk aktiviti iftar, bertarawih dan bertadarus.

“Namun, minat untuk masjid hopping ini sudah bermula sejak saya melanjutkan pengajian di Jordan, kerana saya suka merasai suasana berbeza di setiap masjid yang saya kunjungi.

“Sekembalinya ke tanah air, saya melihat Ramadan sebagai peluang terbaik untuk saya imarahkan masjid dan mendekatkan diri kepada Allah,” tuturnya.

Mahirah berkongsi dia selesa mengunjungi masjid berhampiran LRT seorang diri, khususnya pada hari bekerja. Namun, pada hujung minggu, dia akan menggunakan peluang itu bertarawih bersama rakan-rakan.

Mahirah berkata, dia juga seronok melihat fenomena mengunjungi masjid berdekatan stesen LRT dan MRT tahun ini agak luar biasa dengan Masjid TNB khususnya yang menerima kehadiran jemaah dalam jumlah yang besar.

“Saya percaya, untuk tahun-tahun akan datang, semakin ramai individu khususnya pelajar universiti atau golongan bujang akan memeriahkan iftar dan tarawih di masjid-masjid yang mesra LRT kerana ia bukan saja beri pengalaman spiritual yang unik, tetapi juga peluang untuk merasai keindahan persaudaraan Islam dalam suasana berbeza setiap malam,” katanya.

Mahirah bagaimanapun berharap agar untuk tahun-tahun akan datang, penyedia perkhidmatan tren boleh mempertimbangkan untuk memanjangkan waktu operasi tren.

“Ketika ini, saya hanya sempat menunaikan lapan rakaat tarawih dan kadangkala terpaksa meninggalkan solat witir kerana mengejar jadual pengangkutan awam.

“Jika waktu operasi dilanjutkan, pasti lebih ramai warga kota yang bergantung kepada pengangkutan awam dapat menikmati ibadah Ramadan dengan lebih tenang dan sempurna,” katanya.

Berkongsi pendapat tentang trend itu, ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan, Dr. Kamilin Jamilin memberi galakan penuh terhadap sebarang usaha yang mempermudah umat Islam menunaikan ibadah fardu lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan kerana ramai daripada kita terkejar-kejar untuk berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib.

“Sebelum ini, saya pernah membuat teguran terhadap sikap segelintir masyarakat kita yang ghairah untuk berbuka, namun mengundang murka.

“Apabila mahu berbuka puasa di luar, kita tidak fikirkan waktu dan tempat solat, bahkan lebih galak untuk menunaikan rukun Islam ketiga iaitu berbuka puasa sehingga mengabaikan rukun Islam kedua iaitu menunaikan solat fardu,” katanya.

Dr. Kamilin turut mengucapkan tahniah kepada mereka yang membuat perkongsian mempermudah ibadah solat menerusi platform media sosial.

“Satu tindakan yang bagus apabila anak-anak muda kongsikan cara untuk ke masjid berdekatan serta keadaan dan suasana masjid yang membantu mendekatkan orang ramai kepada masjid.

“Moga-moga setiap daripada kita yang bantu tunjukkan jalan kebaikan, akan meraih pahala daripada setiap orang yang kemudiannya ikut atau pun solat asbab bimbingan kita,” ujar Dr. Kamilin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN