ALOR SETAR – Dunia seorang suri rumah tiba-tiba kelam apabila anak sulungnya disahkan menghidap kanser darah pada 2019.
Nurul Husna Mohd Khir, 31, memberitahu, di sebalik ujian tersebut dia dan suami, Mohd. Samrin Halim, 33, mengumpul kekuatan berikhtiar memastikan Puteri Syafia Umairah pulih dan sihat seperti kanak-kanak sebayanya.
“Anak sulung disahkan hidap kanser ketika berusia dua tahun, dunia kami jadi kelam kerana ia bukan faktor genetik memandangkan tiada dalam keluarga kami menghidap penyakit tersebut.
“Kami berusaha mencari jalan pulihkannya. Kewangan menjadi masalah pada masa itu, sehingga kami terpaksa menjual semua perabot rumah untuk dibuat belanja ubati Syafia,” katanya.
Nurul Husna merupakan salah seorang daripada 106 penerima bantuan pada Majlis Ramadan Kita Wakalah Agihan Zakat Perniagaan E-Idaman Sdn. Bhd. dan KSDC Insurance Brokers Sdn. Bhd. itu melalui Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Menara Zakat, di sini kelmarin.
Suri rumah berkenaan menambah, wang hasil jualan perabot di rumah sewa mereka di Padang Serai, dekat sini itu digunakan untuk perbelanjaan anaknya terutama kos ulang-alik ke Hospital Pulau Pinang bagi menjalani kemoterapi.
“Masa itu, kami belum dapat bantuan zakat dan perlu banyak wang untuk ulang alik. Suami hanya kerja kilang, jadi kami jual perabot rumah dan menetap di rumah mak dekat Kuala Ketil. Alhamdulillah setelah dua tahun Syafia disahkan bebas daripada kanser.
“Sekarang dia hanya perlu membuat pemeriksaan berkala setiap bulan sahaja dan kehidupan kami juga semakin baik,” katanya.
Nurul Husna berkata, ibu bapa yang berhadapan dengan ujian seperti itu diharapkan terus berdoa, cekal dan tidak putus semangat dan yang penting pastikan anak mendapat rawatan secepat mungkin.















