Ketika gadis seusianya memilih untuk melangkah ke alam perkahwinan, Nurul Diyana Azmi enggan terburu-buru untuk menamatkan zaman bujang hanya kerana mahu mengikut orang lain.
Sebaliknya, gadis berusia 25 tahun yang mesra disapa Diyana itu memberitahu, dia mahu memberikan fokus terhadap kerjaya bagi menggapai impian memiliki aset hasil titik peluhnya sendiri.
Kepada Kosmo! Ahad, gadis berasal dari Kuala Lumpur ini berkongsi serba sedikit mengenai dirinya.
KOSMO! AHAD: Ceritakan sedikit mengenai diri kamu?
Diyana: Saya anak kedua daripada enam beradik dan dibesarkan oleh datuk dan nenek sejak usia 11 hingga 17 tahun sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM) kerana mahu berada lebih dekat dengan keluarga.
Kenapa pilih kerjaya dalam bidang kewangan?
Selepas tamat pengajian, saya bekerja dalam bidang kewangan dan perbankan. Saya pilih bidang ini atas dorongan keluarga. Saya lihat industri kewangan ada di mana-mana. Kebetulan saya dapat tawaran daripada institusi perbankan terkenal, jadi saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini.
Apakah minat dan hobi Diyana?
Saya meminati aktiviti luar seperti mandi sungai, mendaki dan berkelah. Jika ada masa lapang, saya akan bersukan atau ke gimnasium selain melancong.
Prinsip hidup yang Diyana pegang?
Setiap yang berlaku ada hikmahnya sama ada baik atau buruk. Nikmati setiap saat yang ada kerana masa tidak boleh diundur. Sentiasa berbuat baik kerana hidup bermusuh tidak akan memberikan ketenangan.
Apa perancangan masa depan Diyana?
Saya sedang mengumpul wang untuk beli rumah kerana berazam memiliki sekurang-kurangnya satu aset atas nama sendiri. Waktu muda ini saya akan bekerja keras, kemudian baru fikir soal jodoh dan fasa seterusnya berkahwin. Mungkin dua atau tiga tahun lagi.
Ciri-ciri lelaki idaman?
Bekerjaya, boleh menjadi imam, matang, pentingkan keluarga dan bertanggungjawab. Selain itu saya mahukan pasangan mudah dan selesa berkomunikasi.
Kenangan pada bulan puasa?
Cari ‘pucuk miding’ untuk membuat bubur lambuk. Jika pergi ke bazar Ramadan, saya pasti akan membeli ayam golek dan kuih asam gumpal.
Berapakah jumlah duit raya paling banyak diperoleh?
Hampir RM1,000.
Kenangan raya yang sukar dilupakan Diyana?
Baju raya yang digosok terbakar, jadi saya menangis dan hilang mood untuk beraya. Sejak itu, saya hantar baju raya ke dobi untuk digosok kerana trauma.
Beli makanan di bazar Ramadan atau masak sendiri?
Tahun ini, saya pilih untuk memasak.















