ANEKA makanan dan minuman yang baru dibeli dari bazar Ramadan disusun rapi di atas tikar yang dibentang di atas rumput hijau.
Keindahan langit senja berwarna jingga keemasan, ditambah angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa menjadikan pengalaman berbuka secara piknik atau berkelah tersebut lebih indah.
Suasana padang pula dipenuhi gelak tawa masyarakat kota yang mengambil kesempatan untuk berkumpul dengan duduk bersila atau bersimpuh seraya menunggu detik berbuka puasa.
Sebaik sahaja azan maghrib berkumandang, semua individu tersebut seakan-akan seirama mencapai sebiji kurma dan meneguk air sebagai tanda tamatnya puasa pada hari itu.
Begitulah suasana berbuka puasa santai di tempat terbuka seperti dataran, padang dan tepian pantai yang dipraktikkan oleh sesetengah masyarakat di negara ini.
Salah seorang penggemarnya, Nurul Khalisah Abd. Khalil berkata, amalan melakukan iftar secara piknik pada mulanya berlaku secara spontan, namun kemudian menjadi tradisi dia bersama rakan-rakan sejak lima tahun lalu.
“Memandangkan saya dan rakan-rakan sibuk bekerja. Kami lebih memilih tempat buka puasa yang tidak memerlukan tempahan awal dan boleh dilakukan secara spontan.
“Oleh itu, kami memang memilih untuk melakukan iftar piknik di tempat-tempat awam. Kami cuma perlu bawa makanan dari rumah atau beli di bazaar Ramadan,” katanya ketika ditemui di Dataran Putrajaya kepada CitaRasa.
Untuk pengetahuan, konsep iftar piknik atau berbuka puasa secara berkelah telah diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia Barat sejak zaman dahulu.
Namun di Malaysia, konsep tersebut semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila orang ramai mula menjadikan kawasan terbuka sebagai salah satu kawasan alternatif untuk berbuka puasa.
Antara kawasan terbuka tumpuan ramai adalah Dataran Merdeka dan Taman Botani Perdana di Kuala Lumpur; Padang MBSA Dataran Shah Alam dan Tasik Biru Seri Kundang di Selangor; Dataran Putrajaya dan Taman Saujana
Hijau, Putrajaya; Dataran Balai Besar, Alor Setar, Kedah; Dataran Nilai, Negeri Sembilan; Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1, Pahang; Dataran Shahbandar Kuala Terengganu dan Dataran Sibu di Sarawak.
Nurul Khalisah, 23, berkata, lokasi yang menjadi pilihannya mengambil kira beberapa faktor. Antaranya suasana yang tenang dan pemandangan menarik, ruang yang mencukupi, kemudahan awam, pencahayaan mencukupi serta akses mudah tempat letak kenderaan.
“Pemilihan lokasi yang sesuai memastikan pengalaman iftar piknik berjalan dengan lancar, selesa dan selamat bagi semua yang menyertainya.
“Kemudahan seperti bilik air dan surau atau masjid juga penting kerana masa berbuka dan waktu maghrib tidak begitu lama sebelum masuk waktu isyak,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Ahmad Danish gemar memilih lokasi iftar piknik yang berdekatan dengan bazar Ramadan untuk berbuka
bersama keluarganya.

– Foto Iskandar Ishak
Baginya, lokasi seperti Dataran Merdeka yang memiliki bazar Ramadan memudahkan keluarganya mendapatkan pelbagai juadah berbuka
mengikut selera masing-masing.
“Kami hanya perlu membawa tikar, kemudian membeli makanan kegemaran dari bazar berhampiran. Ia lebih praktikal dan menjimatkan masa.
“Selain itu, bazar memiliki makanan dengan harga berpatutan dan lebih banyak pilihan berbanding sekiranya kami membeli makanan di restoran,” katanya.
Sementara itu, seiring dengan minat yang semakin meningkat terhadap konsep iftar piknik, muncul pelbagai inisiatif untuk menjadikannya satu pengalaman yang lebih tersusun.
Salah satunya ialah perkhidmatan pakej Iftar Piknik yang bukan sekadar menawarkan peluang berbuka di lokasi menarik, tetapi juga menambah elemen dekorasi dan sajian istimewa.
Menurut pengasas deco.sea.picnic yang hanya mahu dikenali sebagai Bella, perbezaan Iftar Piknik ini daripada bufet Ramadan atau iftar biasa di rumah adalah konsep perkhidmatannya yang lebih eksklusif.
“Kami menawarkan konsep berbuka puasa ala-ala candle light dinner di tepi pantai sambil menikmati bayu laut, bunyi deruan ombak serta pemandangan matahari terbenam di waktu petang.
“Ini berbeza konsep bufet yang kebiasaannya menekankan perkhidmatan dalam kepelbagaian menu makanan kepada pelanggan mereka.
“Dengan perkhidmatan iftar piknik, pelanggan juga boleh menikmati dekorasi piknik mengikut kemahuan mereka termasuk meletakkan ucapan-ucapan tertentu,” katanya.
Pelanggan akan disajikan dengan seleksi makanan Barat di samping kurma, kek dan sebagainya.
Menurutnya, konsep Iftar Piknik itu mendapat sambutan menggalakkan dan sering menjadi pilihan mereka yang mahu lakukan kejutan kepada pasangan bagi meraikan hari lahir, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya.
Pada tahun ini, kata Bella, 29, pihaknya sudah menerima 80 peratus tempahan daripada pelanggan sebelum Ramadan bermula lagi.
Bella berkata, pihaknya memilih lokasi pantai-pantai yang menarik di Melaka untuk pakej itu. Antaranya Pantai Puteri, Pantai Kundur, Pantai Telok Gong dan Pantai Pengkalan Balak.
Melihat dari perspektif Islam, berbuka puasa secara piknik atau berkelah ini boleh dilihat selari dengan nilai-nilai kebersamaan, kesyukuran dan kesederhanaan yang dianjurkan dalam bulan Ramadan.
Berkelah kebiasaannya menggalakkan penyediaan makanan yang ringkas tetapi mencukupi, selain saling berkongsi juadah yang dilihat sejajar amalan sunnah Rasulullah SAW.
Pendakwah terkenal, Ustaz Ahmad Dusuki Abd. Rani berkata, Islam mengajar umatnya untuk bersederhana ketika berbuka kerana ia merupakan falsafah puasa itu sendiri.
“Antara hikmah puasa disyariatkan adalah untuk merasai kesusahan dan penderitaan orang miskin.
“Sekiranya kita berbuka puasa dengan berlebihan, hilanglah tujuan asal berpuasa tersebut.
“Oleh itu, tidak kira bagaimana kita berbuka, termasuklah iftar piknik, penting untuk kita tidak membazir ekoran membeli makanan mengikut nafsu,” katanya.
Selain itu, waktu berbuka puasa sangat berkait rapat dengan waktu maghrib dan perlu diberikan keutamaan terutama ketika melakukan iftar piknik.
“Saya sarankan supaya berbuka dengan tiga biji kurma sahaja dan terus melakukan solat maghrib di surau atau kawasan-kawasan yang bersih dan elok.
“Lepas itu, barulah menikmati makanan, tetapi jangan terlalu berlarutan atau leka sehingga terlupa solat isyak dan tarawih,” katanya.














