Usahawan hartanah berjaya, Azie Nawawi yang mengetuai agensi hartanah Arzone Properties menyifatkan anak sulungnya, Zafran Hakimi sebagai sumber kekuatannya dalam bisnes.

‘Ramai orang masih takut beli rumah pertama’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MASIH jelas dalam ingatannya saat mula-mula mencabar diri menceburi bidang peniagaan kira-kira 22 tahun lalu ketika usianya 23 tahun.

Biarpun sebelum itu, Rozila Nawawi sempat bekerja makan gaji dengan kerjaya sebagai kerani di sebuah syarikat swasta, ternyata bisnes tetap dalam sanubarinya.

“Jiwa dan hati saya lebih terarah kepada dunia perniagaan. Saya minat berniaga dari kecil, namun tidak pernah kesampaian.

“Minat bisnes jugalah yang mendorong saya mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan,” kata Rozila, 45, yang merupakan anak jati negeri Cik Siti Wan Kembang kepada K-Wanita.

Berbekalkan sedikit wang simpanan yang ada, dirinya memulakan perniagaan makanan di Facebook sebelum menerokai bisnes demi bisnes.

Pelbagai cabang bisnes sudah diceburinya daripada sekecil-kecil hinggalah yang besar, antaranya makanan, pakaian, pusat asuhan kanak-kanak, spa dan automotif (bengkel kereta).

Ujar wanita kelahiran Pasir Puteh, Kelantan ini, dalam setiap perniagaan, pasti ada naik turun dan tidak semuanya indah seperti yang disangkakan.

Kongsi anak sulung daripada lapan beradik ini, selepas beberapa tahun mengemudi perniagan automotif, dia diuji dengan kejatuhan paling besar saat itu.

“Saya berada dalam situasi yang sangat mencabar ketika mengoperasikan bengkel kereta selain berdepan hutang yang tinggi, tekanan kewangan dan cabaran dalam hubungan keluarga serta persekitaran sosial.

“Pada saat itulah saya sedar bahawa saya perlu bangkit dengan strategi baharu. Justeru, saya mula mencari bidang yang boleh membantu diri pulih dengan pantas dan di situlah saya menemui industri hartanah.

“Boleh dikatakan, hartanah merupakan satu bidang yang memberi saya peluang untuk ‘fast-track’ dan ‘fast-income’ selain membina kerjaya dengan lebih stabil,” katanya yang terlebih dahulu memulakan profesion sebagai perunding hartanah.

Berbekalkan pengalaman hampir sedekad dalam hartanah bermula 2008, tahun 2017 menjadi lembaran sejarah apabila tertubuhnya sebuah agensi hartanah yang didirikan insan yang mesra disapa Azie Nawawi ini.

Kejayaannya dalam bisnes juga menjadi inspirasi dan melayakkannya menerima Anugerah Inspirasi Wanita Berjaya (Majalah Wanita) 2017.

Azie bersama pasukan Arzone Properties yang dilatihnya dalam industri hartanah.

Diaju mengenai peranan dan tugasnya sebagai pengasas serta ketua agensi syarikat, ibu kepada empat anak ini memberitahu, tanggungjawabnya sebagai ketua bukanlah satu perkara mudah dan ada cabaran tersendiri.

“Dalam syarikat, saya berperanan membina, mengurus dan mengembangkan pasukan dalam usaha memastikan setiap perunding hartanah yang dilatih berkembang dengan ilmu, bimbingan dan motivasi yang betul.

“Selain itu, tugas utama saya adalah menetapkan sasaran dan strategi selain merancang hala tuju syarikat serta memastikan semua ahli pasukan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan,” katanya.

Azie menyatakan dia juga berperanan mencipta suasana kerja yang positif selalu.

“Bercakap mengenai suasana, saya percaya, kejayaan bukan hanya tentang angka, tetapi bagaimana kita menikmati perjalanan bersama dalam budaya kerja yang menyeronokkan.

“Saya ingin melihat lebih ramai perunding hartanah berjaya membina kestabilan kewangan sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Berkongsi cabaran dalam mengetuai organisasi hartanah, Azie mengakui ia pasti ada dan tidak dapat dielak.

Antaranya termasuklah cabaran dari segi emosi dan tekanan yang mana sebagai ketua dia perlu kekal kuat meskipun menghadapi cabaran menguruskan pasukan besar yang pelbagai ragam, kerenah dan sikap.

Tidak setakat itu, Azie memberitahu, dia juga tidak terlepas dengan peranan utamanya iaitu menjaga motivasi dan prestasi pasukan.

“Setiap perunding hartanah ada cabaran tersendiri dan sebagai pemimpin, saya perlu memastikan mereka terus fokus seiring matlamat syarikat.

“Cabaran mengekalkan daya saing dalam industri juga bukan perkara mudah. Pasaran hartanah sentiasa berubah dan saya perlu sering update (kemas kini) strategi untuk kekal relevan dalam industri,” tuturnya.

Ditebak mengenai kesedaran masyarakat di negara ini mengenai ilmu hartanah, wanita yang turut berbakat dalam dunia tata rias dan gubahan ini berpendapat kesedaran semakin meningkat.

Akuinya, sebagai perunding hartanah yang sudah hampir sedekad berkecimpung dalam arena itu, dia melihat kesedaran tentang hartanah semakin meningkat, tetapi masih ramai yang kurang memahami strategi pembelian dan pelaburan hartanah.

“Ramai masih takut membeli rumah pertama kerana kurang pendedahan tentang skim pembiayaan.

Satu lagi kelemahan ramai adalah cara mengurus risiko pelaburan.

“Sebagai pemain industri, saya sentiasa berusaha untuk mendidik masyarakat melalui seminar, perkongsian di media sosial dan program latihan supaya lebih ramai dapat membuat keputusan hartanah yang lebih bijak,” katanya.

Mengulas ringkas perkhidmatan ditawarkan agensi hartanahnya, Arzone Properties, pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Open University Malaysia itu menyatakan syarikatnya menawarkan pelbagai servis hartanah antaranya khidmat nasihat jual beli dan sewaan hartanah yang mana syarikat membantu pemilik menjual atau menyewakan hartanah dengan strategi yang betul.

“Kami juga menawarkan rundingan pembangunan hartanah baharu. Di sini, kami bekerjasama dengan pemaju dalam membangunkan projek perumahan dan komersial.

“Selain itu, kami turut memberikan nasihat pelaburan hartanah yang mana syarikat akan membimbing individu atau perusahaan lain untuk mendapatkan pulangan pelaburan terbaik,” katanya.

Diaju mengenai perancangan jangka panjang syarikat, Azie memberitahu Arzone Properties telah menyediakan roadmap bagi lima ke 10 tahun ke depan.

“Dalam 10 tahun akan datang, kami berhasrat mempunyai lapan ke 10 cawangan di seluruh Malaysia termasuk di Borneo (Sabah dan Sarawak).

“Alhamdulillah, kini kami telah mempunyai sebuah pejabat utama di Nilai, Negeri Sembilan dan dua pejabat latihan di Kajang, Selangor dan Senawang.

“Satu lagi saya bersyukur kerana pada Ogos lalu, saya berjaya menamatkan Professional Diploma in Effective Self Management System dari London Board Examinations dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Space.

“Ia menjadi satu langkah dan landasan terbaik bagi diri saya meningkatkan ilmu dalam kepimpinan dan pembangunan diri,” katanya.

Tambah Azie, tidak dinafikan setiap individu yang berjaya pasti mempunyai sumber kekuatan dan motivasi tersendiri.

Baginya, selain visi besar dalam dunia hartanah, kekuatan dan inspirasinya datang daripada anak sulung, Zafran Hakimi, 22, yang kini mula turut mengikut jejak langkahnya dalam dunia keusahawanan apabila menjadi usahawan rekaan grafik.

“Sebagai seorang ibu dan pemimpin, melihat anak membesar dengan minat, bakat dan semangat sama dalam bidang keusahawanan adalah sesuatu yang amat membanggakan.

“Saya percaya, keusahawanan bukan sekadar tentang bisnes dan keuntungan, tetapi juga tentang mewarisi mindset, disiplin dan ketahanan mental yang kuat,” katanya yang turut menjemput orang ramai hadir ke Mega Kerjaya Hartanah anjuran Arzone Properties pada Mei nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN