Kisah tragis seorang ibu yang maut akibat dipukul sebelum mayatnya dibakar oleh anaknya sendiri yang berstatus orang kurang upaya (OKU) mental dalam kejadian di Kampung Tok Keling, Alor Setar Ahad lalu mengejutkan banyak pihak.
Dalam kes ini, kita mungkin tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku, tetapi ironinya, kes-kes membabitkan OKU mental yang menyerang mangsa sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan parah seperti kes di Kampung Tok Keling itu bukanlah kali pertama berlaku.
Ia sudah banyak kali berlaku dan saya sudah tidak mampu untuk menyebutnya satu persatu.
Lebih malang, insan-insan yang menjadi mangsa kepada kes-kes ini membabitkan mereka yang dekat dengan pelaku. Ibu, ayah, adik-beradik atau sesiapa sahaja yang berada di sekeliling insan istimewa ini sebenarnya terdedah kepada risiko menjadi mangsa kepada tindakan agresif yang tidak terduga.
Realitinya, risiko ini kita tidak dapat nafikan sama sekali. Jadi sudah sewajarnya kepada mana-mana pihak yang mempunyai ahli keluarga yang berstatus OKU mental ini berasa bimbang mengenai risiko perkara yang sama dengan kes di Kampung Tok Keling ini untuk berlaku juga kepada mereka.
Kerana itu, rasanya sudah sampai masanya untuk pihak berkuasa termasuk keluarga yang mempunyai insan istimewa yang berisiko untuk bertindak ganas termasuk sehingga membunuh keluarga sendiri supaya mengambil segala langkah perlu demi mencegah kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.
Ini kerana, individu yang mengalami gangguan mental terutamanya yang tidak menerima rawatan atau pengawasan yang sewajarnya, mungkin boleh bertindak agresif dan mereka sukar dijangka.
Kes-kes yang melibatkan gangguan psikologi seperti skizofrenia, bipolar atau kemurungan yang berat misalnya, pesakit mungkin sukar untuk membezakan antara realiti dan khayalan.
Jadi mereka berisiko untuk bertindak agresif dan jika sampai ke tahap menyebabkan ada nyawa yang melayang, ia sudah tentu sesuatu yang amat serius dan perlu ditangani dengan penuh rasa tanggungjawab.
Kita faham, keluarga yang mempunyai insan istimewa ini akan berhadapan dengan cabaran yang hebat, bukan sahaja dalam menjaga mereka, malah terpaksa juga menghadapi ketidakpastian terhadap sebarang kemungkinan tindakan agresif yang mungkin berlaku.
Namun, sesuatu harus dilakukan untuk mencegah perkara yang tidak diingini daripada terus berlaku. Penulis bukanlah seorang pakar untuk menangani isu ini, cuma sekadar melahirkan kebimbangan bahawa kes-kes membabitkan OKU mental ini mungkin akan terus berlaku dan terus berlaku pada masa depan.
Kerana itu, pihak berkuasa serta mereka yang lebih arif dalam bidang ini boleh merangka langkah pencegahan yang lebih berkesan supaya kes-kes membabitkan OKU mental yang berisiko bertindak agresif termasuk membunuh atau mencederakan ahli keluarga terdekat dapat dicegah daripada berulang.















