Hasil tangkapan kami pada lawatan kali pertama itu agak kurang memuaskan dari segi saiz. Ketika itu, tiada ikan yang bersaiz dua kilogram (kg) ke atas diperolehi.
Pada penghujung Februari lalu, kami sekali lagi melakukan kajian buat kali kedua. Kali ini kami memilih untuk masuk ketika kondisi cuaca yang berlainan.
Hari pertama
Setibanya kami di Pos Kawalan Sungai Tiang, kami diberikan taklimat oleh Tok Hadi (Tok Batin Sungai Tiang) merangkap Pengerusi Koperasi Orang Asli Sungai Tiang (KOAST) mengenai keselamatan dan tatatertib yang harus dijaga ketika kami bertandang ke sini selama empat hari.
Selesai sesi taklimat, kami memulakan perjalanan menaiki lima buah bot menuju ke Kem Santuari Akekchep untuk makan tengah hari. Ketika ini, keadaan air agak tinggi sekitar tiga hingga empat kaki (0.9-1.2 meter) dari paras normal. Oleh kerana keadaan air sungai tinggi, perjalanan kami agak mudah berbanding lawatan pertama, di mana kami perlu turun menolak bot melalui 12 jeram untuk sampai ke base camp.
Dari Akekchep, kami berempat ditemani guide Orang Asli mula meranduk sungai untuk mencuba potensi lubuk yang ada. Selang setengah jam memancing, keadaan langit menjadi gelap. Risau dengan keadaan ini, kami memutuskan untuk berhenti memancing dan terus ke base camp Lata Jenjang.
Selesai sahaja tapak perkhemahan didirikan, hujan mula turun. Keadaan air sungai ketika kami sampai di kem agak jernih. Kami berharap keadaan air akan berubah sedikit keruh agar keputusan pancingan esok memihak pada kami.
Hari kedua
Ketika kami bangkit dari tidur pada pagi hari kedua, hujan masih turun, namun tidak lebat.
Kami sepakat untuk keluar juga memancing walaupun dalam keadaan hujan. Pada lawatan pertama, kami hanya sempat meneroka tujuh kilometer (km) dari pada 10km yang telah diwartakan.
Kali ini kami berhasrat untuk menghabiskan 3km yang berbaki itu.
Jadi, kami sepakat untuk tidak mula meranduk dari base camp, sebaliknya menggunakan dua buah bot untuk meneruskan perjalanan ke Lubuk Setar.

Setibanya di situ, kami mula meranduk ke setiap lubuk pancingan sejauh 3km yang berbaki itu. Kebanyakan lokasi pancingan berupa jeram berbatu dengan lubuk-lubuk kecil. Terdapat juga beberapa lubuk-lubuk besar yang sangat dalam.
Keadaan air mula bertukar sedikit keruh menjelang tengah hari. Kami pun mula menerima sambaran daripada penghuni sungai.
Beberapa ekor tengas dan sebarau berjaya didaratkan menggunakan gewang. Petang itu hujan semakin lebat, risau akan terjadinya kepala air, kami bergegas pulang ke base camp.
Hujan turun tanpa henti pada malam kedua, namun tidak lebat sampailah keesokan harinya.
Hari ketiga
Seperti biasa, sebelum hari cerah, kami sudah bangun dan ketika itu hujan masih turun tetapi renyai. Sebaik sahaja hari cerah, kami mula tersenyum melihatkan keadaan air sungai sudah berubah sedikit keruh seakan warna ‘bulu kera’.
Air ‘bulu kera’ merujuk kepada warna air tidak terlalu keruh dan tidak terlalu jernih.
Keadaan air sebegini dianggap masa yang terbaik untuk memburu spesies ikan pemangsa di sungai pergunungan.
Tanpa berlengah, salah seorang peserta mengangkat joran dan terus menuju ke lata bersebelahan.
Kurang setengah jam kemudian, dia kembali dengan membawa seekor sebarau berskala enam paun (2kg) mengunakan gewang sesudu.
Hasil tangkapan pada hari ketiga sangat mengujakan, beberapa ekor tengas dan sebarau berskala 1kg hingga 2.7kg berjaya ditawan.
Paling mengujakan apabila salah seorang peserta berjaya mendaratkan seekor sebarau berskala 11 paun (5kg) menggunakan gewang minnow disalah satu lubuk berjeram.
Pada hari terakhir, hujan masih tidak berhenti dan keadaan paras air semakin naik sehingga ada batu-batu yang semalamnya timbul sudah tidak kelihatan lagi.
Oleh kerana keadaan arus sungai semakin deras dan air sungai sudah menjadi terlalu keruh, aktiviti memancing semakin sukar.
Kami bersepakat untuk menamatkan sesi pancingan lebih awal dan berkemas untuk pulang.
Kesimpulan
Semasa kajian dijalankan, semua tangkapan wajib dilepaskan kembali tidak kira hidup atau mati, bahkan untuk dijadikan lauk pun tidak boleh.
Matlamat utama keputusan daripada kajian pasaran ini bakal membantu masyarakat Orang Asli Sungai Tiang terutamanya dari segi menjana sosioekonomi mereka apabila kawasan ini dibuka kepada orang awam kelak.
Konsep pancingan adalah sukan memancing (sports fishing) seperti penggunaan joran dan kekili bersama gewang tiruan bermata tunggal (single hook) atau dengan kaedah pancing layang (fly fishing).
Lawatan kali kedua ini membuktikan bahawa Sungai Tiang masih menyimpan ikan-ikan bersaiz mega.
Ketika air jernih, ikan seperti sebarau, tengas dan kelah jelas kelihatan bertempiaran setiap kali bot kami lalu mahupun ketika meranduk air. Semasa trip ini juga, terdapat beberapa kes rabut, lucut, mata kail kuncup dan split ring berubah bentuk. Cadangan untuk menjadikan kawasan ini sebagai kawasan Adventure Sports Fishing pertama di Malaysia semakin menjadi kenyataan, nantikan.















