fbpx
Petugas konti boleh bekerja dengan lebih selesa menerusi teknologi baharu yang diperkenalkan oleh MPA.

Teknologi ‘cahaya sihat’ dalam studio radio elak jatuh sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WALAUPUN suasana konti radio sudah berubah, namun pemuda berkenaan tidak berasa kekok dengan studio baharu yang serba canggih itu.

Dengan penerapan teknologi terkini, penyampai radio, Fizi Ali merasakan ia adalah satu penambahbaikan dalam melaksanakan tugas, selain memberikan kesejahteraan kepada petugas.

Katanya, dua elemen utama yang diterapkan di studio baharu itu adalah teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pencahayaan dalaman untuk kesihatan.

“Kedua-dua elemen ini memberikan nafas baharu dalam konsep bekerja di konti radio. Menerusi pengenalan AI, dua penyampai radio AI berjaya diwujudkan iaitu Aina dan Aidil.

“Manakala bagi teknologi pencahayaan pula, ia dapat mengurangkan risiko pekerja terhadap masalah kesihatan seperti mata.

“Selain dua elemen ini, terdapat juga beberapa penambahbaikan yang dilakukan terhadap konti radio seperti kamera.

“Ia berfungsi memudahkan proses merakam momen tidak diduga seperti perkongsian menarik tetamu undangan untuk dimuat naik ke media sosial,” katanya ketika ditemui K-Tekno pada majlis pelancaran studio baharu,

Media Prima Audio (MPA) di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam era teknologi yang semakin berkembang pesat, keperluan terhadap studio serba canggih amat diperlukan.

Ia bukanlah bertujuan mengurangkan tenaga kerja, sebaliknya menjadikan tugas-tugas di studio terutamanya konti radio menjadi lebih lancar.

Pembinaan studio baharu MPA merupakan usaha syarikat itu untuk mewujudkan tempat kerja yang lebih sihat dan selamat, selain memacu transformasi digital dengan inovasi AI.

Integrasi teknologi AI yang dizahirkan menerusi penyampai radio AI telah dikembangkan kepada hos maya bagi penghasilan rancangan imersif dan penciptaan kandungan pintar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran, AI telah menjadikan industri radio lebih moden.

Ujarnya, teknologi berkenaan membolehkan pihaknya meneroka kandungan kreatif yang lebih dekat dengan para pendengar.

NAZRI (kanan) memberi penerangan kepada tetamu semasa majlis pelancaran studio baharu MPA di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Teknologi AI telah membawa banyak perubahan terhadap industri penyiaran radio. Pihak MPA sentiasa terbuka untuk mengembangkan lagi penglibatan teknologi baharu dalam operasi harian.

“Menerusi kerjasama dengan Metaspace, pelbagai pengembangan AI akan dilaksanakan dan diterokai termasuk menjalankan segmen dioperasikan oleh AI sepenuhnya.

“Teknologi ini mungkin boleh menyelesaikan pemilihan kandungan, seleksi lagu dan sebagainya,” ujarnya.

Katanya lagi, selain integrasi AI yang lebih luas, pihaknya turut memasang eHealth lights (lampu sihat) daripada EV Sun yang diasaskan oleh EV 8un Sdn. Bhd. (EV 8un) sebagai pencahayaan lebih sihat buat pekerja.

Mengulas tentang eHealth lights, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif EV 8un, Nelson Lim berkata, pencahayaan itu mempunyai beberapa kelebihan berbanding fungsi cahaya biasa.

Memandangkan pekerja menghabiskan masa lama di dalam bangunan, keperluan untuk pencahayaan yang baik amat membantu dalam mengurangkan risiko kesihatan.

“Pencahayaan konvensional sering menyebabkan kelipan, kecerahan tidak sekata dan pendedahan kepada sinaran ultraungu (UV) yang boleh membawa kepada keletihan mata, ketidakselesaan dan kelesuan.

“eHealth lights daripada EV Sun mampu mengatasi masalah ini dengan menyediakan pencahayaan tanpa kelipan, kecerahan optimum dan teknologi pensterilan canggih.

“Ia juga dapat menghapuskan lebih 90 peratus kuman di udara dan permukaan tanpa sinaran UV yang berbahaya,” kongsinya.

Ujar Nelson lagi, pemasangan eHealth lights berupaya memastikan kesihatan dan kesejahteraan pekerja sentiasa terjaga, sekali gus mengurangkan risiko mereka jatuh sakit atau dijangkiti penyakit.

Ia bukan sahaja dapat membantu meningkatkan produktiviti, malah membina persekitaran kerja lebih sihat.

Penggunaan eHealth lights di studio itu juga mencerminkan keyakinan MPA terhadap inovasi tempatan yang menyediakan penyelesaian bertaraf dunia.
eHealth lights daripada EV Sun juga telah diperakui oleh badan antarabangsa yang terkenal seperti Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), pensijilan European Conformity (CE), Sekatan Bahan Berbahaya (RoHS) dan ISO 9001.

Pencahayaan tersebut sesuai digunakan di pelbagai lokasi termasuk pejabat, rumah, hospital, sekolah dan kemudahan industri.

Selain pencahayaan, studio baharu MPA turut meningkatkan kualiti udara dengan menggunakan Nanion VOC Removr di ruang dalaman pejabat.

Teknologi nano-coating itu dapat menyingkirkan bahan sebatian organik meruap (VOC) berbahaya, membersihkan udara, menghapus bakteria dan virus, selain membentuk wap air.

Dalam usaha untuk memberikan kesedaran terhadap persekitaran pejabat yang sihat, MPA secara rasmi telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pengedar eHealth lights, EN Distribution Sdn. Bhd. (EN Distribution).

Memorandum tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang manfaat eHealth lights melalui platform media yang meluas.

Dengan memanfaatkan rangkaian media, kerjasama tersebut mampu meningkatkan kesedaran orang ramai tentang bagaimana pencahayaan yang lebih sihat dapat menyumbang kepada keselamatan tempat kerja dan kesejahteraan keseluruhan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif EN Distribution, Adrian Peh berkata, kerjasama itu juga dapat membantu rakyat Malaysia membuat pilihan lebih bijak mengenai pencahayaan dalaman untuk kesihatan dan produktiviti.

“eHealth lights ini bukan sekadar penyelesaian masalah pencahayaan, malah ia adalah ‘pengubah permainan’ dalam pencahayaan yang memberi tumpuan kepada kesihatan.

“Dengan memanfaatkan rangkaian media, kami berhasrat untuk memastikan pencahayaan ini dapat diakses oleh lebih ramai rakyat Malaysia, meningkatkan kualiti hidup dan membina masyarakat yang sihat,” katanya.

Tambahnya, kerjasama itu juga mendukung visi untuk mencipta persekitaran dalaman lebih selamat sambil mempromosikan penyelesaian mampan berasaskan Environmental, Social and Governance (ESG).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN