PETALING JAYA – Ramai pembuat biskut raya terpaksa menaikkan harga jualan berikutan kos bahan mentah untuk menghasilkan produk itu meningkat antara 5 hingga 20 peratus sejak beberapa bulan lalu.
Keadaan itu membuatkan mereka perlu memikirkan strategi baharu untuk menjamin keuntungan termasuk menaikkan harga jualan antara RM2 hingga RM8 mengikut jenis biskut raya.
Di Johor Bahru, Johor, seorang pengusaha, Fazilah Roslan, 37, berkata, hampir kesemua bahan mentah naik harga sehingga 20 peratus sejak Disember tahun lalu.
Katanya, antara bahan mentah utama untuk membuat biskut raya ialah mentega, marjerin, coklat kompaun, serbuk koko, gula, minyak dan telur.
“Sebagai contoh, harga mentega untuk satu karton kini dijual RM484 berbanding tahun sebelumnya pada harga RM458, meningkat sebanyak RM26.
“Marjerin pula untuk 4.8 kilogram (kg) yang sebelum ini dijual pada harga RM74, naik sebanyak 9.6 peratus, menjadikannya RM81.90 tahun ini.
“Coklat kompaun bagi 1.5kg pula dijual pada harga RM28.50 berbanding RM21, naik sebanyak RM7.50,” katanya kepada Kosmo!.
Fazilah berkata, berikutan itu, dia terpaksa menaikkan harga jualan biskut raya tahun ini antara 10 hingga 23 peratus bagi menampung kos peningkatan bahan mentah.
Katanya, pada tahun lalu, satu balang kuih raya dijual antara RM22 hingga RM27 mengikut jenis, tetapi tahun ini terpaksa dinaikkan harga bermula RM28 hingga RM35.
“Saya jual 30 jenis biskut raya antaranya tart gulung, almond Landon, casablanca, nutella swiss, tart mawar, tart rosalinda dan strawberry swiss,” katanya.
Pemilik Gee’s KuehKrumps, Fauziah Ahmad, 54, berkata, kenaikan harga antara RM2 hingga RM3 tidak dapat dielakkan akibat kos bahan mentah yang semakin meningkat.
“Bagaimanapun, kami menggunakan bahan premium, termasuk mentega berkualiti tinggi, untuk memastikan rasa dan kualiti terbaik serta terjamin.
“Kami menawarkan lebih 35 jenis kuih raya termasuk kek, pelbagai kerepek dan biskut dengan harga antara RM35 hingga RM45.
“Tahun lalu, semua biskut raya habis dijual. Saya berharap tahun ini sambutan sama atau lebih baik,” katanya.
Di Gua Musang, Kelantan, pengusaha kek dan biskut raya mengeluh apabila keju, mentega, tepung gandum dan alatan bakeri naik antara RM10 sehingga RM20.
Seorang pengusaha di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil, Hayati Yaakob, 45, berkata, dia terpaksa menaikkan harga RM2 bagi setiap balang biskut raya.
“Sebagai contoh, harga keju untuk dua kilogram pada tahun lalu RM68, tetapi sekarang RM81. Tepung gandum dahulu RM70, sekarang RM80 untuk 25 kilogram.
“Disebabkan ini, kami terpaksa menaikkan harga biskut raya tahun ini, namun saya bersyukur apabila pelanggan memahami masalah kami,” katanya.
Di Lipis, Pahang, pengusaha kek dan biskut, Nurul Zaila Mohd. Tahir, 39 berkata, harga bahan mentah naik berkali ganda sejak awal tahun ini memberi kesan terhadap jualan dan pulangan keuntungan.
“Saya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih tinggi untuk membeli bahan mentah. Contoh sebelum ini harga serbuk koko sekitar RM18 sekilogram, tetapi sekarang mencecah RM40.
“Saya akan membuat jualan kombo atau kuantiti biskut itu akan ikut harga bahan supaya saya tidak rugi,” katanya.
Nor’ain Md. Zain, 40, pula berkata, kenaikan harga tepung gandum, mentega dan serbuk koko seperti tidak berkesudahan, menyebabkannya terpaksa menaikkan harga jualan biskut raya.
“Saya percaya walaupun harga biskut raya yang diletakkan ‘agak keras’, namun pelanggan faham produk yang kita jual berkualiti dan menggunakan bahan premium,” ujarnya.














