MADRID – Hasrat Real Madrid untuk kekal menguasai takhta La Liga tidak kesampaian apabila mereka tews mengejut 1-2 berdepan Real Betis di Stadium Benito Villamarín awal pagi semalam.
Pengendalinya, Carlo Ancelotti turut mengecam prestasi pasukannya dan menganggap semua pemain harus membayar harga yang cukup mahal kerana ia akan memberi kesan besar kepada pemburuan kejuaraan liga musim ini.
“Ini adalah perlawanan yang agak buruk walaupun kami mampu memulakan aksi dengan baik. Kami gagal mengekalkan rentak, hilang kawalan, Betis juga mampu bermain baik dan mereka berhak untuk dapatkan kemenangan.
“Ini adalah tamparan hebat buat kami dan sudah pasti kami kena beri reaksi balas. Mengalami kekalahan ketika saingan memasuki fasa ini agak berisiko yang mampu jejaskan peluang kami bergelar juara,” katanya.
Brahim Diaz terlebih dulu meletakkan Real di depan, namun Betis mempamer kebangkitan untuk memperoleh dua gol menerusi Johnny Cardoso dan bekas bintang Los Blancos, Isco.
Cabaran Real selepas ini pastinya menjurus kepada aksi 16 terbaik Liga Juara-Juara menentang kelab setempat, Atletico Madrid pada aksi awal pagi Rabu ini.
“Jika kami bermain seperti dalam perlawanan ini, kami tidak akan memenangi perlawanan dan saya harap kekalahan ini menyedarkan kami,” katanya. – AGENSI














