fbpx
PELBAGAI sajian jalanan ditawarkan seperti burger, nasi lemak dan roti sarang burung.

Sajian jalanan dalam konsep restoran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MAKANAN jalanan merupakan antara sajian signatur di Malaysia yang turut dikagumi oleh pelancong dari luar negara.

Dalam kehidupan seharian, makanan jalanan merupakan juadah pilihan rakyat di negara ini kerana mudah ditemui dan mengenyangkan.

Mengambil ilham daripada makanan jalanan sebagai sajian di restoran bertaraf tinggi, The Makan Shoppe menampilkan pelbagai hidangan kesukaan rakyat Malaysia di bawah satu bumbung.

Menurut Pengarah Urusan The Makan Shoppe, Datuk Haris Embong, restorannya mengetengahkan konsep ‘From Street to Restaurant’ bagi membolehkan rakyat Malaysia menikmati keunikan makanan tempatan dengan suasana selesa.

“The Makan Shoppe bukan sekadar restoran biasa, tetapi merupakan simbol keunikan dan warisan makanan tempatan. 

“Dengan tagline ‘Malaysia Street Food and More! Come LAH!’, restoran ini menawarkan pengalaman rasa yang tidak dapat dilupakan melalui pelbagai menu istimewa,” katanya.

Haris  ditemui CitaRasa semasa perasmian cawangan pertama The Makan Shoppe di pusat beli-belah Park Mall 168, Selayang, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, antara menu unik yang disajikan ialah nasi lemak bungkus pattaya, burger ala gerai jalanan, bandung dynamite dan lain-lain.

Setiap menu yang disajikan merupakan hidangan signatur yang sentiasa menjadi pilihan rakyat Malaysia serta pelancong.

THE Makan Shoppe terletak di pusat beli-belah Park Mall 168, Selayang, Selangor

Berkongsi tentang menu utama di The Makan Shoppe, Haris memberitahu, nasi lemak bungkus pattaya merupakan sajian nasi dibungkus dengan telur dadar yang menggabungkan rasa lemak santan, beras basmathi dan sambal pedas. 

“Burger ala gerai jalanan pula dihasilkan menggunakan daging berkualiti dengan kandungan peratusan daging lebih tinggi dan dilengkapkan sos umami resipi tersendiri.

“Bandung dynamte adalah minuman ikonik dengan gabungan rasa manis dan menyegarkan yang dicipta untuk memenuhi cita rasa setiap pengunjung,” ujarnya.

Selain tiga menu tersebut, The Makan Shoppe turut menampilkan sajian roti sarang burung yang juga menjadi kegemaran rakyat di negara ini.

Kongsinya lagi, kelainan The Makan Shoppe berbanding restoran lain adalah fokusnya untuk memberi pengalaman sebenar makanan jalanan Malaysia dalam suasana restoran.

Malah sambil menunggu makanan, pengunjung boleh mengeratkan hubungan keluarga dengan bermain permainan papan yang menjadi sebahagian hiasan meja makan.

Katanya, setiap hidangan bukan sahaja mengekalkan keaslian rasa, malah  dipersembahkan dengan gaya moden dan menarik. 

“Selain itu, kami sentiasa memastikan semua hidangan menggunakan bahan berkualiti tinggi untuk kepuasan pelanggan. Restoran ini turut mempersembahkan elemen budaya dan warisan Malaysia melalui setiap hidangan,” katanya.

Ujarnya, dengan menggabungkan cita rasa tradisional, inovasi moden dan layanan mesra, The Makan Shoppe memberikan pengalaman bukan sekadar menjamu selera.

Sementara itu, The Makan Shoppe dijangka membuka beberapa lagi cawangan baharu dalam masa terdekat merangkumi beberapa pasar raya AEON di seluruh negara.  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN