DUA minggu lagi umat Islam akan mula berpuasa. Bulan Ramadan yang penuh keberkatan kembali melengkapkan kitaran tahunan kita.
Bulan ini juga bukan sahaja pahala amalan, bahkan dosa maksiat juga akan digandakan oleh Allah SWT.
Selain musim haji, Mekah juga akan dibanjiri jutaan umat Islam yang berpusu-pusu memenuhi mataf di Masjidilharam untuk bertawaf bagi melengkapkan ibadah umrah ketika Ramadan.
Sudah tentu kita berlumba-lumba mengutip kebaikan dan rahmat yang begitu banyak dihamparkan sepanjang kedatangan al-Mubarak.
Bagi orang awam seperti kita, bulan puasa hanya memenuhi kehendak syariat dan menjalani ibadah itu tidak lebih sekadar melengkapkan Rukun Islam.
Apa yang menjadi keutamaan kita ialah sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ketika ini sudah tentu ada yang sudah membeli kelengkapan menyambut Aidilfitri walaupun Syaaban belum pun sampai ke penghujungnya.
Peniaga-peniaga pakaian sudah mula membuat promosi dan menjual kelengkapan raya sama ada di dalam pasar raya atau di media sosial. Artis-artis digunakan untuk melariskan jualan.
Sebahagian tukang jahit pula sudah mula menutup tempahan mereka kerana bimbang tidak dapat menyiapkan pakaian sebelum pagi Syawal. Semuanya tidak mahu rugi dan dimarahi pelanggan.
Peniaga santan pula heboh mencanang kelapa tiada di pasaran dan akan mengakibatkan harganya mencanak naik menjelang raya.
Semuanya naik dan hujan saja yang turun.
Segala-galanya berkaitan raya. Peringatan mengenai Ramadan hanya berlegar-legar di corong-corong pembesar suara masjid serta surau. Hanya didengari oleh jemaah yang boleh dikira dengan jari.
Berbeza dengan ahli ilmu. Mereka ternanti-nanti Ramadan seperti menunggu kedatangan kekasih.
Pada zaman sahabat, mereka masih memikirkan adakah ibadah puasa mereka diterima selama enam bulan selepas Ramadan pergi. Sepanjang tempoh itu, mereka tidak akan tersenyum. Bagaimana dengan kita?
Bagi mereka, tingkatan puasa terbahagi kepada beberapa bahagian dan sentiasa mendambakan puasa ahli khawas untuk mendapatkan reda dan pahala tertinggi.
Raya bagi mereka ialah hari untuk membesarkan Allah SWT dan bukannya disambut selama sebulan lamanya seperti kita. Aidilfitri bagi ahli ilmu berakhir sebaik sahaja khatib selesai berkhutbah.
Cukuplah contoh ini dicoretkan. Sering kita dengar penceramah memberi peringatan supaya kita bersungguh-sungguh berpuasa tetapi tidak pula dinyatakan dengan cara paling mudah untuk menggapainya.
Penulis teringat pesan tokoh sufi, Sayyid Ahmad Ibn Idris. Beliau mengatakan solat paling khusyuk ialah apabila kita menganggap ia solat terakhir yang dilakukan.
Sama juga seperti puasa. Anggaplah ia Ramadan terakhir dan sudah tentu kita akan berusaha melakukan yang terbaik untuk dipersembahkan sebelum kita mati.














